Program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor 2023 (INNOTECH 2023)

Kajang, 26 Disember 2023 – Program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor (INNOTECH 2023) telah diadakan dengan jayanya pada 23 hingga 25 Disember 2023 bertempat di Universiti Islam Selangor.
INNOTECH 2023 kali ini adalah program di bawah kelolaan Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran, Universiti Islam Selangor (UIS) dan Uwais Global Solution dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi.
INNOTECH 2023 merupakan kesinambungan dari program INNOTECH 2022 yang berbentuk program latihan khusus secara bersemuka untuk pelajar-pelajar dari tingkatan 1 hingga 4 dari seluruh Negeri Selangor.
Para peserta didedahkan kepada 6 kategori bidang Teknologi Maklumat iaitu Kategori A Sains dan Teknologi Maklumat: Asas Robotik, Kategori B Kreatif Multimedia dan Media Baharu: Videografi Mudah Alih, Kategori C Keusahawanan Digital: Rekabentuk Grafik Berbantukan Kepintaran Buatan, Kategori D Teknologi Dunia Masa Depan: Pembangunan Dunia Maya, Kategori E Automasi ICT: Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Tanpa Pengaturcaraan, dan Kategori F Transformasi Industri: Asas Reka Bentuk Cetakan 3D. Selain itu, para peserta juga turut disajikan dengan selingan program-program pembangunan sahsiah diri dalam melahirkan insan yang holistik dan serba boleh.
Selain menyokong gerak kerja Jawatankuasa Tetap Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor, program berbentuk latihan seperti ini penting bagi memberikan pendedahan dan kemahiran asas dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovatif. Ini bagi memastikan para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar peringkat menengah tidak ketinggalan kerana dunia hari ini sedang mengalami revolusi digital dan peningkatan tahap teknologi yang pesat dan pantas.
INNOTECH 2023 khusus untuk menghasilkan para pelajar yang berupaya membangunkan kandungan dan aplikasi digital seiring dengan inspirasi kerajaan Negeri Selangor, seterusnya akan membawa golongan muda bersama-sama Kerajaan Negeri Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri Selangor melalui pencapaian indeks inovasi negara dan dunia yang lebih tinggi seiring dengan Rovolusi 4.0.
Maklumat lanjut berkenaan INNOTECH 2023 boleh dilayari melalui laman sesawang innotech.kuis.edu.my.

Ziarah Ukhuwah Alumni UIS

Masai, Johor 16 Oktober 2023 – Bahagian Alumni UIS berkesempatan menziarahi salah seorang alumni UIS dari tahun 2008 iaitu Puan Nurul Aien Binti Nordin, Diploma Pengajian Syariah, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU) yang diuji dengan suami kemalangan dan keadaan kesihatan bayinya yang berusia empat (4) bulan.

Ziarah Ukhuwah melibatkan Dr. Abdul Razif bin Zaini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, En. Muhammad Subari Bin Ramli Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), FSU dan Bahagian Alumni UIS. Objektif utama aktiviti Ziarah Ukhuwah ini adalah bertujuan bagi menziarahi alumni KISDAR-KUIS-UIS yang ditimpa musibah dan memerlukan bantuan bagi meringankan beban mereka. Selain itu, ziarah ini adalah sebagai salah satu keprihatinan Bahagian Alumni UIS dalam memastikan jalinan dan jaringan hubungan baik dapat dikekalkan di antara alumni dan UIS.

Ziarah Ukhwah diakhiri dengan penyampaian bantuan makanan asas serta wang tunai yang turut disumbangkan oleh Fakulti Syariah & Undang-Undang, Masjid Al Azhar UIS, Yayasan UIS, Pengurusan UIS, Hayla Heejab, Alumni Sabah dan Alumni yang menyumbang melalui Tabung Dana Alumni.

Alhamdulillah, terima kasih kepada semua alumni KISDAR-KUIS-UIS yang menyumbang melalui Tabung Dana Alumni. Sumbangan anda amat bermakna dan dapat meringankan beban alumni yang memerlukan bantuan dan sokongan. Jom menyumbang melalui TABUNG DANA ALUMNI bagi tujuan manafaat kepada Alumni KUIS, pelajar KUIS, komuniti dan penyumbang. sumbangan boleh disalurkan melalui link https://toyyibpay.com/TABUNG-DANA-ALUMNI

Pemerkasaan Alumni di Movenpick Hotel

Sepang 02-03 Oktober 2023 - Pemerkasaan Alumni Universiti Islam Selangor (UIS). Program ini adalah anjuran dari Bahagian Alumni dengan melibatkan fakulti dan bahagian yang berkaitan. Program telah berlangsung selama dua (2) hari bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr. Abdul Razif bin Zaini sebagai penceramah.

Program ini dilaksanakan seiring dengan penaiktarafan KUIS kepada Universiti Islam Selangor (UIS) yang turut sama mensasarkan Pemerkasaan Alumni agar seiring dengan universti lain dengan mewujudkan Dasar Alumni dan Dasar Tabung Dana Alumni yang dikelolakan oleh Bahagian Alumni.

Semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada perkhidmatan dan pengurusan yang lebih baik dan dengan memupuk semangat cintakan alma mater serta memberi peluang kepada alumni untuk menyumbang ke arah pembangunan universiti yang lebih mapan.

Menteri Besar Selangor Hadir Rasmikan Majlis Konvokesyen UIS Sidang Ke-3 Kali Ke-26

Bangi, 24 September 2023 - Yang Amat Berhormat, Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari hari ini hadir menyempurnakan Sidang Ke-tiga Majlis Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) Kali Ke-26 berlangsung di Pusat Konvensyen UIS.

Pada tahun ini, UIS meraikan seramai 2,511 graduan dari pelbagai peringkat pengajian yang telah disenaraikan terdiri daripada Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen yang berlangsung mulai 23 hingga 26 September 2023. Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan dari 1998 hingga 2023 ialah seramai 29,876 orang.

Istimewanya, Majlis Konvokesyen kali ini merupakan penganugerahan Ijazah dan Diploma yang julung-julung kali diadakan selepas Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) didaftarkan sebagai Universiti Islam Selangor (UIS) pada 20 Julai 2023 yang lalu. Majlis Konvokesyen kali ini diadakan sebanyak tujuh sidang di mana untuk sidang ke-tiga ini, sejumlah 332 orang graduan Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Pengajian Peradaban Islam dan 80 orang graduan dari Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran diraikan.

Saya yakin dengan penaiktarafan sebagai universiti pada 20hb Julai 2023 yang lalu, UIS mempunyai potensi untuk berkembang menjadi antara universiti yang terbaik dengan meningkatkan usaha penyelidikan, penerbitan jurnal bertaraf serantau dan membina rangkaian dengan universiti-universiti ternama”- Dato’ Seri Amirudin Bin Shari.

Fakulti Pengurusan dan Muamalah melahirkan graduan tertinggi iaitu seramai 785 orang, diikuti Fakulti Pengajian Peradaban Islam seramai 623 orang, Fakulti Pendidikan 466 orang, Fakuti Fakulti Syariah dan Undang-Undang 429 orang, Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran 207 orang dan Institut Kajian Hadis dan Akidah se-orang.

Komitmen berterusan UIS dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Muslim yang mampu menyumbang kepada negara, memimpin masyarakat serta membangun ummah sama ada di lapangan industri mahupun keperluan dari sudut akademik telah menyumbang kepada melahirkan lebih ramai Dai, Ulama dan Umarak.

Kejayaan sesebuah universiti turut bergantung kepada keupayaan melahirkan graduan yang berinovasi dan kreatif untuk mencipta pekerjaan, dan bukan semata-mata melahirkan graduan yang mencari pekerjaan”- Dato’ Seri Amirudin Bin Shari.

2511 Graduan dirai Sempena Majlis Konvokesyen UIS Kali Ke-26

Universiti Islam Selangor (UIS) meraikan seramai 2511 graduan yang telah tamat pengajian dari pelbagai peringkat terdiri daripada Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke- 26 yang berlangsung mulai 23 hingga 26 September 2023 di Pusat Konvensyen UIS. Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan dari tahun 1998 hingga 2023 ialah seramai 29, 876 orang.

Dalam majlis sidang pertama, seramai 13 orang graduan dikurniakan anugerah-anugerah khas seperti berikut:

  • 1 Penerima Anugerah Diraja DYMM Sultan Selangor
  • 1 Penerima Anugerah Dato' Menteri Besar Selangor
  • 1 Penerima Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor (Ijazah Doktor Falsafah)
  • 1 Penerima Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor (Ijazah Sarjana)
  • 1 Penerima Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor (Ijazah Sarjana Muda)
  • 1 Penerima Anugerah Naib Canselor
  • 1 Penerima Anugerah Majlis Agama Islam Selangor (Kepemimpinan Siswa)
  • 1 Penerima Anugerah Majlis Agama Islam Selangor (Kepemimpinan Siswi)
  • 1 Penerima Anugerah Khas Imam Al-Nawawi
  • 1 Penerima Anugerah Khas Imam Al-Ghazali
  • 1 Penerima Anugerah Khas Komputeran
  • 1 Penerima Anugerah Khas Multimedia
  • 1 Penerima Anugerah Khas IRCIEF

Manakala 47 orang graduan diumumkan sebagai penerima hadiah terbaik (fakulti dan program) iaitu 5 Penerima Terbaik Fakulti (pascasiswazah), 5 Penerima Terbaik Fakulti (Prasiswazah) dan 37 Hadiah Terbaik Program (Prasiswazah). Graduan Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 10 orang, 18 orang Ijazah Sarjana, 1,395 Ijazah Sarjana Muda dan 1,088 Diploma.
Majlis Konvokesyen kali ini lebih meriah dan bermakna apabila julung-julung kali diadakan setelah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) didaftarkan sebagai Universiti Islam Selangor (UIS) pada 20hb Julai 2023 yang lalu.
Komitmen berterusan UIS dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional Muslim yang mampu menyumbang kepada pelbagai keperluan industri negara, memimpin masyarakat serta membangun ummah dalam melahirkan lebih ramai dai, ulama dan umarak. UIS terus bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui teras utama (core values) universiti iaitu Intelek, Sinergi, Lestari, Akauntabiliti dan Holistik (ISLAH).

Majlis Makan Malam Meraikan Graduan Majlis Konvokesyen ke-26 UIS

Bandar Baru Bangi, 22 September 2023 – Satu Majlis Makan Malam Graduan UIS telah diadakan bagi menghimpun dan meraikan bakal alumni tahun 2023 bersempena dengan Majlis Konvokesyen UIS Kali ke-26 yang berlangsung pada 23hb hingga 26hb September 2023 bertempat di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor. Majlis dimulai dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian program dan jamuan makan malam. Turut diadakan pelancaran Buku Daftar Alumni Edisi Rektor KUIS Ke-5, Dato’ Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah serta Pelancaran Portal Alumni bagi tujuan pengumpulan maklumat semua alumni UIS.

Antara jemputan yang hadir sebagai penyumbang kepada majlis makan malam adalah Tuan Ahmad Azri Bin Zainal Nor, Ketua Jabatan Bisnes Amal (Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Tuan Abdul Rahim Shafiq Abd Raza dari agensi Usrah Associates PLT yang merupakan alumni UIS tahun 2016.

Majlis turut dihadiri oleh Barisan Pengurusan UIS, Pengurusan Tertinggi Fakulti serta pegawai-pegawai UIS. Majlis Makan Malam ini ditaja oleh Pusat Zakat & Wakaf (PZW) UIS, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Hayla Heejab, Percetakan ASI, Wardah dan Kelab Rakan Siswa.

Tahniah kepada Puan Nurul Fatin Fatma Binti Ali (Ketua Bahagian Alumni UIS) selaku Pengarah Program atas kejayaan program yang julung-julung kali diadakan ini dan semoga ukhuwah antara UIS-Alumni akan terus kukuh. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir memberi sokongan dan semoga graduan UIS akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan.

4 Pelajar UIS Terpilih Mengikut Daurah Ilmiah ke Kuwait

14 September 2023 -Pelajar-pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) terus melakar sejarah setelah terpilih mengikuti Daurah Ilmiah ke Kuwait selama 3 bulan. Pelajar-pelajar yang dipilih diwajibkan melalui beberapa proses saringan bagi melayakkan mereka untuk mengikuti program ini. Pelajar-pelajar yang terpilih adalah daripada Fakulti Pengajian Peradaban Islam iaitu Wan Ahmad Fadhil bin Wan Hussin, Muhammad Arifuddin bin Abdul Kadir, Mohd Izzuddin bin Aziz dan Muhammad Syafiq bin Mahmud.

Program yang dianjurkan oleh Jam‘iyyah Insan al-Khairiyyah, Kuwait menawarkan pengajian kitab secara percuma selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, malahan pelajar-pelajar disediakan penginapan secara percuma, ditaja tiket penerbangan pergi dan balik, serta diberikan wang saku.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr. Abdul Razif bin Zaini yang turut mengiringi keberangkatan pelajar-pelajar di KLIA menzahirkan kesyukuran berikutan kejayaan pelajar-pelajar UIS yang julung kalinya terpilih untuk mengikuti program ini. Beliau juga berharap agar program ini bakal menjadi perintis untuk pelaksanaan di masa akan datang.

Program Interlinking Connections UIS & Pemain Industri Perkukuh Kerjasama Akademik-Industri

Bangi, 31 Julai 2023 - Majlis Interlinking Connections Universiti Islam Selangor dan pihak industri yang dianjurkan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri dengan kerjasama pusat tanggungjawab telah meterai empat (4) Memorandum Persefahaman (MoU) dan sebuah (1) Memorandum Perjanjian (MoA). Yang Berbahagia, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor telah menandatangani kesemua memorandum dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mokmin Basri, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri.

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan dengan kerjasama pihak UIS bersama empat (4) pemain industri iaitu Pusat Kecemerlangan Halal dengan The Institute of Internal Auditors Malaysia; Pusat Kecemerlangan Halal dengan HIS Toyyiba Sdn. Bhd; Pusat Pendidikan TVET dengan Halal Development Corporation (HDC) dan Pusat Pendidikan TVET dengan Azzuha Group Travel.

Manakala MoA bernilai RM695,000.00 juga telah dimeterai di antara Pusat Inovasi Teknologi Islam (IICT) dengan Mikaza DRG Sdn. Bhd yang bersetuju bekerjasama dalam program Pembangunan portal pembelajaran IKTISASS yang melibatkan pembangunan aplikasi mobile, learning management dan talent management.

Antara objektif MoU dan MoA adalah untuk memberikan kemudahan dan kemahiran yang kompeten kepada pelajar selari dengan keperluan industri. Ini dapat menjamin kebolehpasaran graduan dalam industri halal serta melengkapkan keperluan ekosistem dan rantaian bekalan halal yang lebih holistik dan terpelihara. Selain itu, memorandum juga bertujuan Pembangunan Modul Bimbingan Umrah dan Ziarah Pentauliahan Mutawwif dengan Sijil Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT-Amali di UIS.

Turut hadir bersama di dalam majlis ini adalah barisan pengurusan tertinggi dan pengarah pusat tanggungjawab UIS serta wakil-wakil dari pemain industri.

Jelajah Bakti Siswa Selangor Lahir Mahasiswa Holistik, Cakna Keperluan Masyarakat

MB3 3 960x650jpg

 

SERDANG, 27 JULAI: Program Jelajah dan Bakti Siswa Selangor bakal menyokong peranan universiti dalam melahirkan mahasiswa holistik dan berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu juga akan memberdaya mahasiswa daripada segenap aspek.

“Jelajah ini adalah program mahasiswa dan mahasiswi terutama pada cuti semester dan hujung minggu bagi mendekatkan mereka dengan realiti di sekitar.

“Kita mahu golongan ini cakna dengan persekitaran sekeliling, tidak hanya duduk dalam gelembung sendiri yang hanya akan memisahkan mereka dengan realiti dan masyarakat,” katanya.

Amirudin berkata demikian selepas melancarkan program itu di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani merupakan tema utama jelajah dan bakti siswa Selangor di bawah program Tekad Pendidikan #KitaSelangor.

Merupakan sebahagian Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor (SELESTARI) 2023-2030 bagi memacu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ia bakal menjelajah ke empat zon di utara (Pulau Pinang), Timur (Terengganu), Selatan (Johor) dan (Tengah) Sabak Bernam.

Pengisiannya termasuk program anak angkat kepada penduduk setempat selain motivasi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Turut diadakan ‘townhall’ bersama rakyat, gotong royong, reruai penerangan inisiatif Iltizam Selangor Penyayang dan agensi Kerajaan Negeri ,pameran dan pertandingan selain jualan produk komuniti Industri Kecil dan Sederhana.

Pelaksanaan program berkenaan akan diterajui Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel), Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS).

Turut terlibat agensi Kerajaan Negeri, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sumber berita : https://selangorkini.my/2023/07/jelajah-bakti-siswa-selangor-lahir-mahasiswa-holistik-cakna-keperluan-masyarakat/

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).