Berita KUIS

Bangi, 31 Julai 2023 - Majlis Interlinking Connections Universiti Islam Selangor dan pihak industri yang dianjurkan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri dengan kerjasama pusat tanggungjawab telah meterai empat (4) Memorandum Persefahaman (MoU) dan sebuah (1) Memorandum Perjanjian (MoA). Yang Berbahagia, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor telah menandatangani kesemua memorandum dengan disaksikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mokmin Basri, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri.

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan dengan kerjasama pihak UIS bersama empat (4) pemain industri iaitu Pusat Kecemerlangan Halal dengan The Institute of Internal Auditors Malaysia; Pusat Kecemerlangan Halal dengan HIS Toyyiba Sdn. Bhd; Pusat Pendidikan TVET dengan Halal Development Corporation (HDC) dan Pusat Pendidikan TVET dengan Azzuha Group Travel.

Manakala MoA bernilai RM695,000.00 juga telah dimeterai di antara Pusat Inovasi Teknologi Islam (IICT) dengan Mikaza DRG Sdn. Bhd yang bersetuju bekerjasama dalam program Pembangunan portal pembelajaran IKTISASS yang melibatkan pembangunan aplikasi mobile, learning management dan talent management.

Antara objektif MoU dan MoA adalah untuk memberikan kemudahan dan kemahiran yang kompeten kepada pelajar selari dengan keperluan industri. Ini dapat menjamin kebolehpasaran graduan dalam industri halal serta melengkapkan keperluan ekosistem dan rantaian bekalan halal yang lebih holistik dan terpelihara. Selain itu, memorandum juga bertujuan Pembangunan Modul Bimbingan Umrah dan Ziarah Pentauliahan Mutawwif dengan Sijil Kemahiran Malaysia melalui kaedah PPT-Amali di UIS.

Turut hadir bersama di dalam majlis ini adalah barisan pengurusan tertinggi dan pengarah pusat tanggungjawab UIS serta wakil-wakil dari pemain industri.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).