20 Julai 2023 I 2 Muharram 1445H – Universiti Islam Selangor (UIS) atau dulunya dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terus mengorak langkah dengan menjalinkan Memorandum Perkongsian Pintar bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada 20 Julai 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Rafflesia, JPNS. Antara kesepakatan yang dicapai antara UIS dan JPNS adalah mewujudkan kolaborasi akademik, memperkasakan jaringan antara pelajar sekolah dan alumni UIS di Sabah serta mempromosikan peluang pendidikan dan perancangan kerjaya.
Sebagai tanda komitmen awal terhadap memorandum ini, UIS bersetuju memberikan tajaan Biasiswa Peribumi kepada tiga orang pelajar Non-Muslim daripada Sabah. Dua penerima adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Matunggong dan seorang lagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sikuati II, Kudat. Ketiga-tiga penerima Biasiswa Peribumi adalah dari etnik Rungus dan dari kategori keluarga B40.
Memorandum Perkongsian Pintar ditandatangani bersama oleh Rektor UIS, Prof. Madya Dato’ Mohd Farid Ravi bin Abdullah serta Encik Mohd Zaini bin Yani, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan PPD, JPNS. Setelah itu, Rektor KUIS telah menyerahkan surah tawaran kepada ketiga-tiga orang pelajar yang telah terpilih untuk menerima tajaan Biasiswa Peribumi.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan & Pengurusan PPD, JPNS dalam ucapan pembukaannya menzahirkan kesyukuran dan keterujaannya di atas kesudian pihak UIS menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak JPNS seterusnya memberikan peluang pendidikan secara percuma kepada anak-anak peribumi Sabah yang tidak berkemampuan.
Dalam ucapan balasnya, Rektor UIS menyatakan komitmennya untuk terus menjadikan UIS sebagai sebuah institut pengajian tinggi yang memperkasakan pendidikan yang merentas sempadan geografi, kaum dan agama. Rektor UIS menegaskan bahawa, walaupun UIS adalah merupakan sebuah universiti Islam, namun ini tidak bermakna UIS tidak boleh menjadi tempat berteduh bagi masyarakat bukan Islam. Tegasnya lagi, Islam itu sendiri adalah agama yang bersifat Rahmah kepada semua manusia tanpa mengenal agama dan bangsa.