14 Oktober 2024 – Sabak Bernam, Selangor – Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP), Universiti Islam Selangor (UIS) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang ditadbir oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Lawatan ini adalah untuk berkongsi idea dan pandangan serta mengenal pasti kaedah-kaedah yang dilaksanakan di Baitul Ehsan dan sekiranya kaedah tersebut boleh diaplikasikan di UIS dalam usaha membantu membentuk sahsiah dan disiplin selari dengan kecemerlangan akademik di kalangan pelajar.
Delegasi diketuai oleh Pengetua, Ustaz Ahmad Shafiq Bin Mat Razali dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Fakri Sungit bersama 2 orang wakil BPKP UIS. Delegasi telah diraikan oleh Puan Nor Huda bt Tajuddin selaku Pegawai Psikologi dan beberapa pegawai Baitul Ehsan MAIS.
Baitul Ehsan telah diwujudkan oleh MAIS pada tahun 2001 bagi memberikan perlindungan dan bantuan kerohanian kepada generasi wanita belia yang memerlukan bimbingan dan sokongan. Pandangan negatif sesetengah pihak terhadap peranan pusat ini perlu dijernihkan dimana di zaman teknologi terkini kebanyakan maklumat mudah diperolehi tanpa sempadan dan batasan yang boleh menjerumus golongan belia khususnya wanita kepada gejala sosial yang sukar dibanteras.
Selaras dengan moto UIS Disini Lahirnya Dai’, Ulama & Umarak kerjasama strategik boleh dilakarkan antara kedua belah pihak dalam usaha memperkasa aspek tarbiah dan disiplin di kalangan pelajar universiti. Perkongsian kepakaran juga dilihat dapat memperkasa peranan UIS dan Baitul Ehsan MAIS dalam merangka pembentukan generasi muda yang lebih berdisiplin, berakhlak mulia dan terpelihara daripada gejala negatif serta dapat menjalani kehidupan dengan positif dan bahagia.
Semoga dengan lawatan ini menjadi titik tolak kepada kedua entiti anak syarikat MAIS ini untuk saling berganding bahu dalam memartabatkan syiar Islam khususnya kepada generasi muda yang perlu diberikan sokongan dan panduan dalam menempuhi kehidupan dan cabaran akhir zaman.