Berita UIS

Kuala Lumpur, 25 Ogos 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) sempena Majlis Sinergi Barakah yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara UIS dan KPMAIWP.

Bagi pihak UIS, MoU ditandatangani oleh YBrs. Dr. Zetty Nurzuliana binti Rashed, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIS manakala pihak KPMAIWP diwakili oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP. Selain UIS, majlis berkenaan turut menyaksikan penandatanganan MoU dan MoA antara KPMAIWP dengan 12 agensi lain, menjadikan keseluruhan 13 kolaborasi strategik dimeterai pada majlis tersebut.

Kerjasama UIS-KPMAIWP merangkumi bidang pembangunan akademik, penyelidikan, perkongsian kemudahan, mobiliti pelajar dan pensyarah, pembangunan kepimpinan pelajar, penganjuran bersama program profesional serta usaha memperkukuh pendidikan untuk golongan asnaf. Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang strategik dalam memperkasakan pendidikan Islam yang berdaya saing dan holistik.
Hadir bersama bagi pihak UIS ialah Encik Zulhizzam bin Hamzah, Pendaftar serta Encik Muhamad Fazaizul Razali, Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan.

Dengan termeterainya MoU ini, UIS dan KPMAIWP komited memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi Islam dalam mendukung agenda pembangunan modal insan yang seimbang, berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).