2 Julai 2025 - Putrajaya - Universiti Islam Selangor (UIS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesempatan mengadakan sesi libat urus bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
UIS diketuai oleh Naib Canselor, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah bersama Encik Zulhizzam bin Hamzah, Pendaftar dan Encik Muhamad Fazaizul Razali, Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan.
Kertas cadangan strategik yang dibentangkan merangkumi pemerkasaan pendidikan insaniah, pembangunan komuniti, integrasi TVET berteraskan nilai Islam serta pengukuhan ekosistem halal dan keusahawanan nilai insan telah diterima dengan baik dan dibawa ke peringkat seterusnya bagi pelaksanaan di peringkat strategik nasional.
Sebagai institusi yang mengorak langkah ke arah menjadi universiti wakaf pertama di Malaysia serta mengekalkan kedudukan sebagai Peneraju Tradisi Ilmu, UIS kekal komited untuk terus menyumbang secara proaktif dalam melahirkan graduan berakhlak, usahawan beretika dan pemimpin komuniti yang berupaya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.
UIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri atas kepercayaan, dorongan dan sokongan yang amat bermakna terhadap aspirasi universiti.
Langkah ini bukan sekadar menandakan satu kejayaan tetapi merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih bermakna.