Berita UIS

Bangi, 22 Ogos 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencatat rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori “Largest Participation in Merdeka Interpretation Program”. Rekod ini direkodkan melalui penyertaan terbesar warga kampus dalam program interpretasi tema kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan 2025.

Program “From Campus To Country: Our Voice, Our Merdeka Theme 2025” ini menghimpunkan 1,675 warga UIS terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran yang bersatu hati dalam menzahirkan penghayatan terhadap tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.

Bertempat di Dewan Sultan Idris Shah, para peserta mempamerkan ekspresi kreatif melalui penulisan ringkas tentang makna kemerdekaan sebelum membentuk perbarisan berkonsepkan Jalur Gemilang, simbolik kepada perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk. Inisiatif ini bukan sahaja diraikan dalam suasana penuh semangat patriotisme malah menjadi bukti nyata komitmen UIS dalam memperkukuh jati diri kebangsaan dalam warganya.

Ini merupakan kali kedua UIS mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. Kali pertama adalah pada 3 Ogos 2007 melalui kategori “The Most Hibiscus SPP Planted in 50 Seconds”. Pada ketika itu, UIS dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Pencapaian terbaharu ini menegaskan peranan UIS sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang progresif, dinamik dan berimpak tinggi di peringkat kebangsaan. Lebih daripada itu, pengiktirafan The Malaysia Book of Records ini menjadi inspirasi agar warga kampus terus menyumbang kepada pembangunan negara dengan kreativiti, inovasi serta semangat kebangsaan yang kukuh.

Seiring dengan itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan, UIS turut akan menganjurkan Sambutan Ambang Kemerdekaan “Gems of Nation: Harmony in Heritage, Strength in Unity” pada 23 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sultan Idris Shah. Antara pengisian utama yang bakal mewarnai acara ini termasuk:

  • Perarakan Kemerdekaan melibatkan pelbagai kaum dan komuniti setempat diiringi pancaragam serta lintas hormat.
  • Majlis Perasmian dengan gimik istimewa termasuk pertunjukan dron, deklamasi sajak “Gems of Nation” serta persembahan silat.
  • Pertandingan Kemerdekaan seperti mewarna, sayembara puisi dan kuiz.
  • Aktiviti komuniti santai seperti memancing dan kayak bertemakan kemerdekaan.
  • Malam Kebudayaan menampilkan persembahan seni pelbagai kaum, zapin, wushu, sewang, tarian tradisional, sketsa, nyanyian patriotik selain penganugerahan Tokoh Perpaduan “Gems of Nation” kepada ikon masyarakat.

Dengan kejayaan ini, UIS sekali lagi membuktikan bahawa kampus bukan sekadar pusat ilmu tetapi medan penyatuan aspirasi rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang disamping memperkukuh keterlihatan UIS sebagai universiti Islam yang progresif, dinamik dan berimpak tinggi.

“UIS - Dari Kampus untuk Negara, Demi Kemerdekaan, Demi Malaysia Tercinta.”

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).