Disediakan oleh : Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia (ISESCO-KUIS) |
Bandar Seri Putra - Pada 21 - 25 Mac 2016 telah berlangsungnya Seminar Pemerkasaan Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Program ini diadakan khas buat mereka yang bukan penutur jati berbahasa arab di rantau Asia Tenggara. Seminar ini merupakan anjuran pihak Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) bersama-sama dengan Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia (ISESCO-KUIS). Seminar ini telah dihadiri oleh delegasi negara Asean dan setiap wakil negeri di seluruh Malaysia serta tetamu undangan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Turut serta pada majlis perasmian seminar, Rektor KUIS YBhg Profesor Dato' Dr. Abdul Halim Tamuri, Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan Dr. Mohamad Syukri Abdul Rahman dan wakil ISESCO-Pusat Mr. Adel Bouraoui bersama pakar ISESCO pusat Dr. Ismaili Alawi. Seminar ini dianjurkan sebagai satu usaha menjadikan Pusat Pendidikan ISESCO-KUIS khususnya Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) amnya sebagai pusat rujukan kepakaran dalam bidang Bahasa Arab dan Pendidikan Islam di rantau Asia Tenggara. Seminar ini juga dapat memberikan ruang perkongsian pengalaman dalam kalangan tenaga pengajar bahasa Arab berkaitan aspek Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Arab di Malaysia dan rantau asia tenggara. Objektif utama seminar ialah menyediakan latihan profesionalisme keguruan bagi pentadbir, pegawai-pegawai dan guru-guru Bahasa Arab di Malaysia serta negara-negara di Asia Tenggara. Ia sebagai satu usaha mengukuhkan peranan Pusat Pendidikan ISESCO di Malaysia dalam memartabat kedudukan Bahasa Arab di rantau Asia Tenggara. Adalah menjadi harapan agar usaha seperti ini terus mendapat perhatian dari segenap aspek sebagai salah satu agenda pemerkasaan akademik khususnya dalam bidang bahasa Arab dan Pendidikan Islam. |