Berita UIS

9 Oktober 2024 - Bandar Seri Putra - Felo Kolej Kediaman dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Kediaman Pelajar (BPKP) telah menganjurkan Pertandingan Bilik Tercantik bagi Sesi I 2024/2025. Pertandingan yang dianjurkan buat kali kedua ini mengkhususkan kepada penilaian bilik jenis Dormitori iaitu C & D di Parcel dan Qaryah.

Kali pertama ianya dianjurkan pada Sesi I 2023/2024 mempertandingkan bilik jenis A & B dan pemenang telah diraikan dengan lawatan ke Istana Alam Shah Klang pada 3 Oktober yang lalu. Inisiatif lain akan dilaksanakan bagi meraikan pemenang dan memupuk budaya cintakan kebersihan di kalangan pelajar UIS.

Majlis Apresiasi dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr Abdul Razif bin Zaini. Dalam ucapan beliau mengingatkan agar budaya cintakan kebersihan ini dikekalkan walau dimana pelajar berada. Suasana kondusif itu perlu diwujudkan demi keselesaan semua pelajar dan kerjasama sesama ahli bilik perlu demi keharmonian dalam menempuh kehidupan sebagai pencinta ilmu. Suasana bilik yang bersih meningkatkan fokus dan minat untuk belajar.

Pengarah program Ustaz Abi Syafiq memaklumkan sebanyak 604 buah bilik yang dipertandingkan mengikut jenis iaitu C, D & Dormitori pada kali ini. Semasa sesi penilaian yang dijalankan selama 2 minggu terdapat bilik pelajar yang perlu kepada pembudayaan kebersihan selain persefahaman sesama ahli bilik. Bilik siswa F105, P2-616C & P4-308 dan bilik siswi H-201, P10-724C dan P6-913D telah memenangi kategori bilik tercantik. Johan keseluruhan bagi Type C adalah P2-616C, bagi Type D P6-913D dan Qaryah H201. Syabas dan tahniah kepada semua pemenang.

Sesuai dengan konsep “kebersihan itu separuh dari iman” maka penerapan nilai-nilai murni di kalangan pelajar khususnya menjadi agenda utama UIS melalui penganjuran program seperti ini yang mana dilihat mampu memberikan awareness kepada bilik kediaman yang kondusif.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).