Berita UIS

Kurumba Village, 7 Mei 2025 – Yang Amat Berhormat Presiden Republik Maldives, Dr. Mohamed Muizzu telah merasmikan pelancaran rasmi Maldives Islamic Social Finance Initiative (MISFI) di Kurumba Village, Maldives. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan sistem kewangan Islam yang lebih inklusif, beretika dan berlandaskan nilai-nilai syariah dalam sistem kewangan negara.

MISFI adalah hasil kerjasama strategik antara Maldives Monetary Authority (MMA) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Melalui inisiatif ini, pendekatan baru dalam kewangan Islam akan diperkenalkan termasuk amalan seperti zakat, waqf, sadaqah dan pendanaan islam. Kerjasama ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk membangunkan sistem kewangan sosial yang lebih beretika dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Gabenor MMA, Encik Ahmed Munawar bersama dengan tokoh-tokoh penting dari kerajaan, institusi kewangan Islam serta pertubuhan masyarakat sivil dari Maldives dan Malaysia. Presiden Maldives dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa MISFI bukan sekadar sebuah program kewangan sosial tetapi juga sebuah seruan untuk bertindak secara kolektif dalam membina sistem kewangan yang lebih adil, inklusif dan berlandaskan nilai-nilai sosial.

Naib Canselor UIS, Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dalam ucapannya menekankan bahawa MISFI adalah wadah untuk menterjemahkan prinsip keadilan sosial Islam melalui kewangan Islam. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham Dato' Dr. Abdul Halim Ismail atas idea asalnya mengenai konsep Sadaqa House yang kemudian dikembangkan melalui kajian UIS dan dilaksanakan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 2018. Konsep ini menjadi inspirasi utama kepada pelaksanaan MISFI.

Antara ciri utama MISFI adalah penyediaan akaun kebajikan berasaskan deposit, platform pendanaan Islam, pengurusan dana oleh institusi kewangan Islam serta program kredit komuniti untuk galakan sumbangan sosial. Inisiatif ini juga merangkumi projek perintis yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk institusi zakat, NGO dan agensi kerajaan dengan fokus utama untuk memperkasakan komuniti rentan melalui pembiayaan mikro, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan infrastruktur awam.

61746779404 SadaqaHouse

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).