Berita UIS

BANGI, 15 Jun 2025 - Pasukan bola sepak Universiti Islam Selangor (UIS) mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung dalam acara bola sepak Kejohanan Sukan Utama MASISWA Fasa 1, Tahun 2025 yang berlangsung selama 5 hari di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.

Menariknya, ini merupakan kali pertama acara bola sepak dipertandingkan dalam kejohanan MASISWA, sekaligus menjadikan kemenangan UIS sebagai pencapaian yang lebih bermakna dan bersejarah.

Berentap dengan 12 pasukan dari institusi pengajian tinggi swasta seluruh negara, skuad UIS menampilkan taktikal yang tersusun dan semangat juang tinggi, menewaskan beberapa pasukan pilihan sepanjang kejohanan.

Aksi di peringkat kumpulan menyaksikan UIS mencatat kemenangan bergaya ke atas Albukhary International University (AIU) dengan keputusan 3-1, sebelum menundukkan Unipsas FC dengan jaringan 1-0, sekaligus menempah slot ke suku akhir sebagai juara kumpulan.

Di peringkat suku akhir, UIS terus beraksi garang apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas KPTM Ipoh. Separuh akhir pula menyaksikan perlawanan dramatik menentang MMU FC, yang berakhir tanpa jaringan (0-0) dan ditentukan menerusi sepakan penalti. UIS akhirnya melangkah ke final selepas menang 5-4 dalam penentuan tersebut.

Final menyaksikan UIS mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan lawan dengan keputusan meyakinkan 3-1, sekaligus merangkul gelaran juara keseluruhan bagi acara bola sepak MASISWA Fasa 1, 2025.

Kejayaan ini turut diserikan dengan dua anugerah individu utama yang dimenangi oleh pemain UIS:

  • Pemain Terbaik Kejohanan - Saudara Muhammad Faris Hafizi bin Muhamad Annas
  • Penjaring Terbanyak - Saudara Muhammad Haikal Iskandar bin Mohamed Shahriza

Lebih membanggakan, kejayaan ini juga melayakkan pasukan UIS ke Liga IPT Divisyen 3, membuka ruang kepada pemain untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi dan mencabar pada penghujung tahun ini.

Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform penting untuk mengangkat nama UIS dalam arena sukan IPT dan mencungkil bakat muda yang berpotensi diketengahkan ke peringkat kebangsaan. -Pusat Sukan

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).