17 Julai 2024, Shah Alam - YBhg. Dato' Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor hari ini menyampaikan aluan pembukaan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 9 (PASAK 9) anjuran Fakulti Sains Sosial UIS, bertempat di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam.
Persidangan PASAK 9 2024 kali ini bertemakan “Budaya Ilmu Membangun Perpaduan” untuk memberi peluang kepada percambahan idea, perkongsian ilmu dan pengalaman para ilmuan, pakar bidang, penyelidik tenaga professional, teknokrat dan saintis bagi memartabatkan ilmu dalam menangani isu dan cabaran kehidupan pada masa kini.
Persidangan pada tahun ini juga telah mendapat kerjasama dari Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Pustaka Raja Tun Uda dan KUISCELL serta rakan sinergi iaitu Universiti Selangor (UNISEL), Pertubuhan Ilmuan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN) dan Open Universiti Malaysia (OUM). Sebanyak 251 orang termasuk pembentang dan peserta dari universiti dan institusi pendidikan dalam dan luar negara.
Yang Berhormat Datuk Rizam Ismail, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor telah menyempurnakan persidangan ini dan berharap agar persidangan ilmiah sebegini tidak terhenti hanya di sini malah mampu mewujudkan komuniti intelek yang sentiasa berwibawa dan berterusan dalam usaha membina wawasan pembangunan dan perpaduan ummah yang berilmu dan beramal.