Kota Marudu - Sebahagian muallaf meluahkan rasa bersyukur dan menzahirkan kegembiraan apabila menyambut kedatangan pelajar-pelajar dari Universiti Islam Selangor (UIS) ke program Jejak Program Jejak Dakwah 2.0: Misi Iman dan Sinar Tauhid yang telah diadakan di Kampung Singgah Mata, Kota Marudu Sabah pada 22 hingga 27 Disember 2024. Program kerjasama bersama Hidayah Center Foundation dan United Sabah Islamic Association (USIA) ini merupakan kesinambungan dari program sama yang pernah diadakan pada Disember 2023 yang lalu.
Program yang melibatkan seramai 32 pelajar dan 2 pengiring bertujuan untuk melatih para mahasiswa turun ke lapangan secara praktikal membimbing masyarakat terutama anak-anak muallaf memahami ajaran Islam dengan sempurna.
Selain kelas intensif membaca Al-Quran, program-program lain yang turut dilaksanakan ialah kaedah sertu dengan betul, cara bersolat bagi orang yang sakit dan beberapa program lain yang melibatkan perkara-perkara asas fardhu ain.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ustaz Azlan Saiwa, Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Kota Marudu. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Yang Berusaha Dr. Abdul Razif Zaini dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Penutup merakamkan penghargaan kepada penyelaras penduduk, Yang Berusaha Cikgu Pandir bin Lodah yang juga merupakan Guru Besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu, Sabah.
Malam penutup program turut diisi dengan forum yang menampilkan dua orang muallaf yang menceritakan perjalanan hidup mereka menemui hidayah serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam mempertahankan akidah.
Semoga usaha-usaha dakwah terus disemarakkan bagi menyuburkan Islam di negeri Sabah.