SHAH ALAM, 16 Jun 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) menerima lawatan rasmi daripada Ketua Pengarah Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ICESCO), Tuan Yang Terutama Dr. Salim M. AlMalik pada 16 dan 17 Jun 2025. Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dua hala dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan khususnya menerusi kerjasama bersama UIS selaku tuan rumah kepada Pusat Pendidikan ICESCO di Malaysia.
Ketibaan TYT Dr. Salim telah disambut oleh Naib Canselor UIS, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah bersama barisan pengurusan kanan UIS yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, YBrs. Dr. Abdul Razif bin Zaini, Pendaftar UIS, YBrs. Encik Zulhizzam bin Hamzah serta wakil Pusat Pendidikan ICESCO Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamad Syukri bin Abdul Rahman dan Dr. Md Noor bin Hussin.
Delegasi ICESCO turut disertai oleh YBhg. Professor Dr. Majdi Haji Ibrahim, Ketua Pusat Bahasa Arab untuk Penutur Bukan Arab yang memainkan peranan penting dalam pembangunan program akademik antarabangsa anjuran ICESCO.
Sebagai sebahagian daripada agenda rasmi, TYT Dr. Salim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, bertempat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK), Shah Alam. Pertemuan ini bertujuan membincangkan inisiatif menjadikan Selangor/Malaysia sebagai Hab Pendidikan Bahasa Arab di rantau Asia Tenggara, cadangan pembinaan Bangunan Pusat Pendidikan ISESCO di Cyberjaya, serta usaha memperkasa penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan guru dan pelajar.
Delegasi ICESCO kemudiannya diraikan dalam satu makan tengah hari bersama pengurusan UIS sebelum meneruskan sesi pertemuan rasmi bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Pada hari kedua lawatan, 17 Jun 2015, TYT Dr. Salim dijadualkan mengunjungi Universiti Islam Selangor. Lawatan hormat ini dijangka memberi ruang kepada TYT Dr. Salim untuk meninjau perkembangan Pusat Pendidikan ICESCO di Malaysia yang beroperasi di UIS serta berbincang mengenai inisiatif lanjutan dalam memperkasa program akademik, latihan profesional dan penyelidikan bersama.
Lawatan rasmi selama dua hari ini mencerminkan komitmen berterusan ICESCO dalam memperkasa institusi pendidikan Islam di rantau ini, selain menjadi pemangkin kepada inisiatif transformasi global dalam bidang ilmu, budaya dan inovasi sejajar dengan agenda pembangunan umat Islam sejagat. -CorpComm