30 Jun 2021, Bandar Seri Putra – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini bersama Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan Kumpulan Aerodyne Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Majlis ini berlangsung secara atas talian memandangkan negara masih di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh namun, ini bukan halangan bagi KUIS untuk berkembang menjalinkan hubungan industri.
Majlis dimulai dengan ucapan aluan dari Rektor KUIS, Ketua Eksekutif STDC dan Pengasas Kumpulan Aerodyne. Seterusnya diteruskan dengan sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Pusat Pendidikan TVET, KUIS yang diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Bin Tamuri, Rektor KUIS dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Mokmin Bin Basri, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri, KUIS. Manakala STDC diwakili oleh Encik Mohd Ashraf bin Amin, Ketua Eksekutif STDC dan disaksikan oleh Puan Norzilawati Md Said, Pengurus Pusat Bertauliah STDC.
Seterusnya, sesi menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (FSTM) KUIS yang diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Bin Tamuri, Rektor KUIS dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Mokmin Bin Basri, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri, KUIS. Manakala Kumpulan Aerodyne Malaysia diwakili oleh Encik Kamarul bin A Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Aerodyne dan disaksikan oleh Encik Izham bin Zakaria, Pengurus Kanan Unit Pembangunan Perniagaan Aerodyne Malaysia.
Kerjasama MoU antara TVET KUIS dan STDC untuk tempoh tiga (3) tahun bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama pintar dalam perkara yang disepakati secara bersama dan dilihat dapat menjadi wadah dalam memperkasakan lagi bidang-bidang akademik dan TVET secara khususnya, dalam menyemai minda masyarakat secara umumnya bagi menyahut hasrat bagi menjayakan transformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan juga sebagai satu suntikan penerokaan minda dalam menghidupkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Manakala Kerjasama MoU di antara FSTM KUIS dan Kumpulan Aerodyne Malaysia pula dilihat amat bertepatan dengan kehendak global pada masa kini dalam memperkasa ekonomi digital inklusif Malaysia dalam memajukan teknologi data dan transformasi digital negara melalui siri-siri perkongsian teknikal berkaitan bidang teknologi data dan transformasi digital KUIS-KUMPULAN AERODYNE. Kerjasama MoU ini telah dimeterai untuk tempoh dua (2) tahun.
Dalam usaha melahirkan graduan dan pakar yang lebih kompeten, berdaya saing dan berkualiti, kerjasama strategik yang wujud melalui kursus jangka pendek, latihan dan jaringan industri serta program mobiliti bersama pihak STDC dan KUMPULAN AERODYNE dilihat dapat menjadi pemacu dalam meningkatkan keyakinan dan daya saing graduan selaras dengan keperluan industri global.
Majlis Menandatangani MoU telah berlangsung dengan jayanya dan diakhiri dengan sesi fotografi. Adalah menjadi harapan KUIS dengan termeterainya MoU ini akan menjadi satu ‘milestone’ kepada kedua-dua pihak sebagai penanda permulaan satu usahasama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada pemain industri bumiputera khususnya dan negara amnya.
Sementara itu, majlis ini menerima kejutan kemunculan secara langsung daripada Y.A.B Dato Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato' Seri Amirudin Bin Shari yang memberikan ucapan penghargaan kepada YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Bin Tamuri, Rektor KUIS yang akan menamatkan perkhidmatan di KUIS berkuatkuasa 30 Jun 2021 bermula pada 1 Julai 2013 selama lapan (8) tahun. Y.A.B Dato’ Menteri Besar juga mengharapkan agar KUIS terus cemerlang dalam melahirkan ulamak dan umarak di masa akan datang.
Majlis turut dihadiri oleh semua barisan Pengurusan KUIS, barisan Dekan Fakulti dan Pengarah Pusat KUIS dan Ketua Bahagian Pemasaran Strategik dan Komunikasi Korporat.