ms my en gb ar aa
  Salam@UIS      MyPortal      kLMS      UIS-PEARL (Staff)      UIS-PEARL (Student)      COVID-19
Disediakan oleh :
Pusat Pengurusan Penyelidikan

Usaha berterusan dan bersungguh-sungguh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) untuk membudayakan penyelidikan dan penulisan lebih berimpak dalam menyokong matlamat Gagasan KUIS menjadi universiti penuh, meningkat ke tahap seterusnya apabila termeterainya    tujuh (7) Perjanjian Penyelidikan (Memorandum of Agreement) sebagai pembuka tirai kerancakan aktiviti dan komitmen RMC di awal tahun 2016.
 
Bertempat di Hotel Concorde Inn, KLIA pada 29 Januari, 2016, enam (6) MOA bagi penyelidikan dan penulisan buku berikut yang ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’Dr. Ab. Halim Tamuri (Rektor, KUIS) dengan YBhg. Prof. Dr. Omar H. Kasul (Secretary General, International Institute of Islamic Thought (IIIT) iaitu 1.  Falsafah Dan Pemikiran Islam 2.  Falsafah Sains 3. Pembangunan Potensi Insan 4. Pengantar Akhlak 5. Tamadun Islam Dan Tamadun Asia 6. Teknologi Maklumat Dalam Kehidupan Insan.
 
Satu lagi MOA yang dimeterai adalah MOA Penganjuran Bengkel  yang meliputi tiga (3) bengkel kerjasama KUIS-IIIT bagi pengukuhan usaha enam (6) penyelidikan dan penulisan buku berkenaan. Dua bengkel berkenaan telah dilaksanakan iaitu Bengkel Pengenalan Islamisasi Ilmu pada 27 Julai, 2015 dan Bengkel Pemahaman Epistemologi Islam yang diadakan pada 21hb Januari, 2016 baru-baru ini. Satu lagi bengkel yang akan dilaksanakan ialah Bengkel Penulisan Buku Teks yang akan dilaksanakan pada Mac 2016. Keseluruhan dana yang diperuntukkan untuk projek ini ialah sebanyak RM140,000.00 melalui sumbangan bersama KUIS dan IIIT. Projek penulisan buku teks ini dijangka siap pada penghujung 2017.

Majlis menandatangani MOA berkenaan telah disaksikan oleh YBrs. Dr. Hj. Mohd Farid Ravi Abdullah (Pengarah RMC) dan Dato’ Wira Dr Jamil Osman (Regional Representative International Institute Of Islamic Thought (IIIT) – East and Southeast Asia)
 
Prof. Dr. Omar H. Kasul, sebelum itu dalam satu wacana (talk) selama 40 minit menyeru dan mengingatkan para delegasi bahawa salah satu tanggungjawab utama kita sebagai umat Islam dan pewaris kerja dakwah Rasulullah S.A.W ialah untuk  terus menyebarluaskan ilmu pengetahuan tentang Islam yang berasaskan al-Quran dan As-Sunnah. Penyampaian ilmu secara lisan perlu dikukuhkan dengan penulisan bahan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu yang boleh dibaca dan dirujuk oleh orang Islam terutamanya. Ini juga sebagai suatu usaha untuk mendepani cabaran globalisasi, pertembungan pemikiran Barat dan Islam serta pelbagai cara pemesongan tumpuan umat Islam masa kini terhadap isu-isu yang sengaja direka, disebarkan dan menjadi senjata propaganda utama mereka. Apatah lagi dengan tersedianya media sosial yang menjadi pencetus revolusi pengaliran maklumat tanpa sempadan. Oleh yang demikian Prof. Dr. Omar H. Kasule menyeru agar ahli akademik Islam khasnya tidak terpengaruh dengan isu-isu berkenaan tetapi terus memberikan tumpuan kepada proses penyebaran dan pengembangan ilmu serta usaha mengislamisasikan ilmu (Islamisation of Knowledge). Turut hadir dalam wacana dan menyaksikan Majlis Menandatangani MOA ini ialah wakil-wakil IIIT daripada Jepun, Korea, China, Hong Kong, Cambodia, Philippina, Thailand, Brunei, dan Indonesia. Disamping itu, majlis ini juga turut dihadiri oleh beberapa Felo Penyelidik Kanan IIIT disekitar Kuala Lumpur.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri, Rektor KUIS dalam ucapan terima kasih beliau menegaskan KUIS komited untuk menjayakan projek ini dan kejayaan projek ini akan membuka pintu kepada kerjasama yang lain di masa akan datang. Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana KUIS dipilih untuk menjayakan projek penulisan buku teks ini yang juga akan menjadi bahan rujukan kepada semua universiti dan kolej bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Beliau yakin dengan dedikasi para ilmuan dari KUIS dan juga kerjasama pakar-pakar dari IIIT, projek ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

iiit 01   iiit 02
iiit 03   iiit 04

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).