30 OGOS 2021 : Satu sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) di antara Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan Institut Agama Islam Negeri Bukittinggi (IAIN Bukittinggi), Indonesia telah berlangsung secara dalam talian.
Kolaborasi ini selari dengan visi KUIS yang menyediakan sumber daya intelektual dan pendidikan universiti kepada masyarakat secara luas, mendorong pembangunan modal insan dan pengembangan pendidikan yang lebih berkualiti. Kolaborasi ini juga diharapkan dapat berkongsi kepakaran dalam bidang yang berkaitan terutama bidang pengajianIslam dan bertindak sebagai satu permulaan kepada program kolaborasi akademik seperti penyelidikan dan penerbitan.
KUIS dan IAIN Bukittinggi pertama kali menandatangani perjanjian MoU pada tahun 2015. Kunjungan awal dimulakan dengan kehadiran pelajar IAIN Bukittingi ke KUIS melalui program Mobiliti Pelajar yang melibatkan pelbagai fakulti pada 28 November 2016. Kerjasama diteruskan lagi dengan program Mobiliti pelajar dan pensyarah Fakulti Pendidikan dan Fakulti Syariah Undang-Undang, KUIS Ke IAIN Bukittinggi sebagai program balas pada 29 Oktober 2017. Disamping itu, penganjuran International Seminar On Tarbiyah pada tahun 2017 di IAIN Bukittinggi mengeratkan lagi kerjasama ini.
Berdasarkan kepada Perjanjian Persefahaman ini, KUIS mengharapkan supaya perkongsian ilmu dan kepakaran dapat digarap dengan lebih meluas. Sebagai negara yang serumpun, berakar umbi dari pegangan agama dan kepercayaan yang sama, diharapkan perjanjian ini dapat memainkan peranan dalam menegakkan syiar Islam dalam melahirkan lebih ramai tokoh ilmuan, dai’e dan umarak.