Kajang 11 Februari 2023 – Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia hari ini merasmikan International Showcase on Economic Empowerment for Person with Autism (ISEEPA 2023) bersempena Karnival dan Pameran Sambutan Ulang Tahun Penubuhan UIS ke-28.
Keperihatinan yang tinggi dan sokongan padu daripada rakan-rakan NGO, Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) mendorong Universiti Islam Selangor (UIS) meneruskan iltizam memperkasakan Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Autisme menerusi penganjuran program ini khususnya memberikan kesedaran kepada organisasi dan masyarakat dalam membantu mereka dan ibu bapa yang mempunyai anak autisme.
Penganjuran ISEEPA 2023 ini mendapat kerjasama penuh daripada rakan NGO; Malaysian Care, NASOM, Yayasan Gamuda, Autism Café Project dan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas. Program sebegini bermula sejak tahun 2018 lagi, disusuli dengan kejayaan menghasilkan Model Pemberdayaan Autisme melalui penyelidikan yang rapi pada tahun 2020. Model ini kemudiannya disambut baik oleh Persatuan Cakna Filantropi Malaysia (PhilCare) untuk dilaksanakan dan dimeterai melalui MoU yang telah ditandatangani pada tahun 2022.
Bersempena sambutan 28 tahun penubuhan, UIS turut menyatakan pendirian memberikan sokongan penuh kepada golongan OKU melalui Dasar Inklusif UIS terhadap OKU. Dasar ini turut dilancarkan oleh YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Rektor UIS dan disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Turut hadir ialah YAD Tan Seri Abdul Aziz Yusof, Pengerusi MAIS dan Dr. Haji Ahmad Shahir Mahktar, Setiausaha MAIS. Sesi ucaptama telah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Hasnah Toran, Pensyarah UKM dengan tajuk Perancangan dan Persediaan Ibu Bapa yang Memiliki Anak Autisme ke Alam Pekerjaan" dan Dr Maszlee Malik, mantan Menteri Pendidikan dengan tajuk "Pemerkasaan Sistem Sokongan Untuk Golongan Autisme Menceburi Alam Pekerjaan".
Sementara itu, Karnival dan Pameran Sambutan Ulang Tahun Penubuhan yang bermula 11 hingga 15 Februari 2023 ini menyajikan pelbagai program menarik antaranya acara mewarna bagi kanak-kanak Autisme dan Wacana Ilmiah, Karnival Keusahawanan dan Kerjaya, aktiviti berkayak, career talk, slot motavasi pelajar tahun akhir, dan pelbagai jualan diadakan antaranya gerai makanan, pakaian, barang-barang aksesori dan lain-lain. Turut dianjurkan pada 12 Februari 2023 (Ahad) ialah 2nd Penyang Fun Run yang merupakan kesinambungan daripada program ISEEPA ini dan telah menerima 300 penyertaan termasuk orang awam, warga UIS dan golongan OKU & Autisme.