Putrajaya, 5 Ogos 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yayasan UIS, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan KUISCELL Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan International Symposium on Hadith 2025 pada 5 dan 6 Ogos 2025. Simposium ini berlangsung secara fizikal pada hari pertama bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan dijadualkan diteruskan secara dalam talian pada hari kedua dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala ucapan aluan telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dr. Abdul Razif bin Zaini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS mewakili Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor UIS.
Dalam ucapannya, Dr. Abdul Razif menegaskan kepentingan usaha berterusan dalam memelihara dan menerapkan ajaran Hadis secara holistik dalam menangani cabaran semasa dunia moden.
“Kita amat berbesar hati dapat menganjurkan simposium ini yang bertemakan ‘Empowering Humanity through Hadith: Interdisciplinary Approaches to Contemporary Challenges’. Tema ini menzahirkan hasrat kami untuk mengangkat Hadis sebagai sumber utama dalam menyemai nilai keadilan, kasih sayang dan maruah insan di peringkat global,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa simposium ini merupakan platform penting untuk memperkukuh jaringan penyelidikan, memacu penerbitan ilmiah berkualiti dan menjadikan UIS sebagai pusat kecemerlangan ilmu Hadis bertaraf antarabangsa.
“Saya percaya bahawa dengan sokongan berterusan dan kolaborasi yang mantap, kita berupaya memperkembangkan kajian Hadis melalui pendekatan rentas disiplin yang memberi kesan besar kepada masyarakat,” tambah beliau.
Program ini menampilkan tiga syarahan utama pada hari pertama yang disampaikan oleh tokoh-tokoh terkemuka bidang Hadis, antaranya:
- Assoc. Prof. Dr. Saadedin Mansour Gasmelsid (IIUM)
– الحديث النبوي و بناء المجتمع المدني -
Dr. Shumsudin Yabi (USIM)
– الحديث النبوي ومجتمع الصحابة رضوان الله عليهم -
Dr. Mohd Khafidz bin Soroni (UIS)
– Pemberdayaan Bidang Kepakaran Ummah Menurut Hadis Nabi SAW
Simposium ini juga menyaksikan penyampaian Anugerah Kertas Kerja Terbaik sebagai penghargaan kepada penyelidikan yang memberi sumbangan signifikan terhadap pengembangan ilmu Hadis dalam konteks kontemporari.