Berita UIS

Sambutan Ambang Kemerdekaan 2025 di Universiti Islam Selangor (UIS) berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 peserta daripada pelajar, warga universiti dan komuniti Bandar Ilmu Putra Mahkota. Acara dimulakan dengan perarakan kemerdekaan yang dirasmikan oleh YBrs. En. Zahed bin Saidin, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Perpaduan Negara.

Sebanyak 13 kontingen menyertai perarakan termasuk kaum Cina, India, Etnik Orang Asli, Etnik Sabah Sarawak, Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi UIS, Silat Cekak Malaysia UIS, Taekwondo UIS, Pengakap UIS, Wataniah UIS, Agensi Bakti Suci Holding Sdn. Bhd., serta pegawai dan pensyarah UIS. Perarakan turut dimeriahkan oleh pancaragam SK Puchong Utama 2, mencerminkan semangat kebersamaan dan kepelbagaian budaya.

Malam kebudayaan pula diserikan dengan pelbagai persembahan:

  • Tarian zapin oleh murid Pendidikan Khas SK Dusun Tua
  • Nyanyian lagu kemerdekaan oleh Saudara Umar Bin Hasrizal
  • Pertunjukan Wushu dari SMJK Confucian
  • Sketsa kemerdekaan daripada SJK(T) Bangi
  • Tarian tradisional oleh SK Rinching Hilir
  • Persembahan Sewang oleh Komuniti Orang Asli Al Hidayah Bukit Kala Batu 12 Gombak

Majlis turut meraikan Anugerah Tokoh Perpaduan “Gems of Nation” Bandar Ilmu Putra Mahkota, UIS yang dianugerahkan kepada Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) dan Puan Siti Rahayu Binti Baharin atas sumbangan mereka dalam usaha memupuk perpaduan komuniti.

Tema tahun ini, “Gems of Nation: Harmony in Heritage, Strength in Unity”, menegaskan bahawa warisan adalah permata bangsa, kepelbagaian kaum adalah jambatan keharmonian. UIS bersama Bandar Ilmu Putra Mahkota komited untuk terus menjadi pemangkin kepada masyarakat berilmu, beradab dan bersatu padu demi Malaysia yang lebih harmoni.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).