Video ucapan Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Pemangku Rektor KUIS sempena Maal Hijrah 1443H
Ucapan Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Ali Dato' Menteri Besar Selangor Merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor Sempena Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 18 pada 29 Ogos 2015 (Sabtu) di Pusat Konvensyen KUIS |
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله و بركاته الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين |
Y.A.D DATO SETIA HAJI MOHAMMAD ADZIB BIN MOHD ISA Y.B DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI Y.B TUAN MOHD SHAFEI BIN NGAH Y.B TUAN NIK NAJMI BIN NIK AHMAD Y.B DATO NOORDIN SULAIMAN Y.BHG PROF. DATO’ DR. ABDUL HALIM BIN TAMURI YANG BERBAHAGIA AHLI-AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS) YANG BERUSAHA DEKAN-DEKAN FAKULTI PENGAJIAN, PEGAWAI-PEGAWAI KANAN KUIS; PARA PENSYARAH DAN WARGA KERJA KUIS (1) Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua kita dapat bersama-sama dalam Majlis Konvokesyen Ke 18, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada pagi ini yang akan menyaksikan seramai 1,188 graduan menerima ijazah mereka. Tahniah dan syabas kepada semua yang akan dinobatkan sebagai graduan pada pagi ini. Ketabahan dan ketekunan saudara saudari akhirnya menghasilkan kejayaan diri dan menjadi kebanggaan negara. Saya berasa cukup gembira pagi ini dikelilingi oleh ilmuwan, lebih-lebih lagi ilmuwan muda yang akan melakar masa depan negara. (2) Kepada semua ibu bapa yang datang daripada seluruh pelusuk negara, saya amat menghargai dorongan, pengorbanan dan doa untuk anak-anak kita yang hasilnya kita saksikan pada hari ini. Kepada adik-adik sekalian yang akan dianugerahkan ijazah pada hari ini, jangan sekali-kali kita lupa pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang senantiasa mendoakan kejayaan adik-adik selama ini. Saya juga menghargai sumbangan besar para pensyarah KUIS yang amat berdedikasi untuk menyampaikan ilmu dan memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pelajar – pelajar berjaya dalam bidang yang diceburi. (3) Kita bersyukur dan berbangga KUIS telah berjaya meningkatkan jumlah pengambilan pelajar baharu berdaftar sesi 2013/2014 seramai 3,895 pelajar iaitu kenaikan 100% berbanding sesi 2012/2013. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar KUIS seramai 7,892 orang yang membuktikan bahawa KUIS merupakan antara IPT pilihan utama bagi para pelajar menyambung pengajian ke peringkat Pengajian Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. (4) Kecemerlangan KUIS dalam bidang akademik turut dibuktikan dengan kejayaan mengekalkan Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2013 (SETARA ’13) pada tahap TIER 4 (Sangat Baik). Sehingga kini sebanyak 48 kursus pengajian telah menerima akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam bidang pengajian Akademi Islam, Pengurusan Muamalah, IT, Pendidikan dan Asasi. (5) Kejayaan sesebuah universiti turut bergantung kepada keupayaan melahirkan graduan yang berinovasi dan kreatif untuk mencipta pekerjaan, dan bukan semata-mata melahirkan graduan yang mencari pekerjaan. (6) Sebagai sebuah negeri pembangunan, Selangor akan terus memimpin halatuju dalam sektor pendidikan dan menerajui dunia inovasi dan teknologi. Peranan pendidikan adalah strategik untuk masa depan Selangor. (7) Dalam sektor pendidikan tinggi, usaha Kerajaan Negeri tertumpu kepada dua Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu KUIS dan UNISEL. Selangor akan melaksanakan inisiatif-inisiatif baru yang melahirkan sumber daya manusia yang berkemahiran dalam bidang-bidang profesional dan juga tenaga pemikir. (8) Sementara UNISEL memberikan pengkhususan kepada disiplin kejuruteraan, teknologi dan kajian untuk memenuhi tuntutan industri; KUIS pula akan memberikan tumpuan kepada ilmu yang berteraskan Islam yang juga meliputi disiplin kemanusiaan atau humanities yang dikenali sebagai humoria. Selangor akan melahirkan nara sumber untuk menjadi rujukan ke arah penyelesaian masalah seperti yang diperintahkan dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, Ayat 43 : “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (9) Saya yakin KUIS mempunyai potensi untuk berkembang menjadi antara universiti yang terbaik dengan meningkatkan usaha penyelidikan, penerbitan jurnal bertaraf serantau dan membina rangkaian dengan universiti-universiti ternama. (10) Universiti mempunyai peranan untuk membina masyarakat yang adil berteraskan tiga ciri utama; kebersamaan, kepelbagaian dan demokrasi. Dalam menggerakkan perubahan ke arah keadilan dan kebebasan, adalah menjadi tanggungjawab anak muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk menggarap nilai-nilai di atas. (11) Kejayaan KUIS harus menyumbang kepada pengukuhan Human Development Index (HDI) Malaysia yang dianjurkan oleh United Nations Development Program (UNDP) – yang antara lain melibatkan peningkatan jangka hayat, pendapatan per kapita, pembasmian kemiskinan, kualiti taraf hidup serta penguasaan ilmu dan pendidikan. (12) Atas kesedaran ini, maka dituntut satu anjakan paradigma dalam sistem pendidikan, khususnya pendidikan tinggi. Universiti dan Kolej Universiti tidak harus dilihat sebagai menara gading yang terpisah dengan realiti masyarakat, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjalin semula dunia akademik dengan masyarakat sekeliling. (13) Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam, kita perlu bersedia dengan cabaran-cabaran baru dan insaf bahawa cabaran kepada ilmu-ilmu Islam di abad ke-21 sangat hebat. Ilmu-ilmu tradisional seperti Ilmu Kalam, Fikih, Tasauf dan ilmu-ilmu alat seperti bahasa Arab bukan sahaja perlu kekal dalam landasan asas yang dibangunkan sejak ratusan tahun, namun perlu menjalani proses ke masa kinian agar dapat menjawab cabaran zaman. Pendekatan ilmu Kalam tidak boleh alpa dengan revolusi epistemologi, falsafah dan sains yang berlaku sejak Zaman Pencerahan. (14) Anak muda hari ini, termasuk mereka yang mengambil pengkhususan dalam pengajian Islam, membaca “Discourse on Method” oleh Descartes, “Risalah Tentang Kerajaan Madani” oleh John Locke, “Apa Itu Pencerahan?” oleh Immanuel Kant, “Darihal Kemerdekaan” oleh John Stuart Mill, “Hak Manusia” oleh Thomas Paine dan lain-lain. Pembacaan mereka menyuntik pemikiran baru yang berkembang sejak Zaman Pencerahan yang telah menjadi sebahagian dari wacana pemikiran semasa di seluruh dunia, Timur dan juga Barat. (15) Sarjana dan pendidik Islam tidak boleh menolak idea Pencerahan ini secara sembrono tanpa wacana dan perdebatan sihat. Sebaliknya, sarjana kita perlu menghidupkankembali semangat kesarjanaan Hujjatul Islam al-Ghazali yang dipaparkan di dalam karya agung beliau Tahafut al-Falasifah, menyanggah falsafah Yunani dengan menggunakan pendekatan falsafah. (16) Institusi pendidikan Islam perlu bersedia untuk menjawab cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dan juga menggalas tanggungjawab sebagai “ummatan wasatan”, menangani cabaran yang dihadapi oleh umat manusia keseluruhannya. (17) Sebagai mahasiswa, saudara-saudari perlu sedar bahawa kita berada di rantau yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia. Kita bukan berada di pinggir dunia Islam. Sebaliknya, kita berada di tengah-tengah dunia Islam. Realiti ini menuntut umat Islam Malaysia bersama-sama saudara kita di rantau ini menjalani proses tajdid atau pembaharuan untuk mencorakkan umat Islam dan dunia keseluruhannya. (18) Sebagai generasi muda, saudara-saudari adalah denyutan dan hati nurani watan, the conscience and spirit of the nation, memiliki idealisme yang tidak dinodai oleh kepentingan. Seorang penyair berkata: “to be young, is to be glorious”. (19) Namun, sebagai suara kepada semangat zaman, saudara-saudari jangan sekali-kali tercabut, terpisah atau memisahkan diri dari masyarakat. You must remain connected to your roots and society. (20) Saudara-saudari sekalian adalah warna-warni yang akan mencorakkan kain latar masa depan. Anak muda yang punya idealisme tidak akan merelakan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia oleh manusia. Atas semangat kemerdekaan, anak muda tidak boleh merelakan penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah yang kini berpindah kepada pribumi. (21) Masa depan adalah dalam genggaman saudara-saudari. Pertahankan kesederhanaan, lawan ekstrimisme dan lawan kedurjanaan dan kezaliman. Pamerkan “the smiling face of Islam” bukan “the menacing face of Islam”; Islam yang segar dan ceria, bukan Islam yang muram dan bengis. Jadilah anak muda yang mencintai keadilan. Jadilah demokrat muda, demokrat Muslim. (22) Kebangkitan demokrat Muslim merupakan gelombang yang akan merubah peta politik dunia. Demokrat Muslim berkongsi keghairahan dengan demokrat lain dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Namun, demokrat Muslim melandaskan perjuangan di atas ilmu, tarbiyah akhlak dan menseimbangkan kepentingan individu dengan kepentingan masyarakat. (23) Saya berharap KUIS menjadi tapak semaian yang akan menumbuhkan demokrat Muslim, menjadi wira untuk keamanan dan keselamatan sejagat. (24) Dalam dunia yang penuh dengan cabaran kepura-puraan, keruntuhan nilai, anak-anak generasi muda ini perlu mempunyai keberanian (courage) dan keyakinan (conviction) untuk mengurus kerencaman dunia. Masyarakat kita dicengkam oleh putaran ganas ketakutan. (25) Franklin D. Roosevelt berkata: “…the only thing we have to fear is … fear itself.” (26) Zaman Edan hari ini mengingatkan saya kepada puisi penyair Taufik Ismail, “Takut ‘66, Takut ‘98” yang sepatutnya menyentuh kalbu anak muda yang berprinsip : Mahasiswa takut pada dosen Dosen takut pada dekan Dekan takut pada rektor Rektor takut pada menteri Menteri takut pada presiden Presiden takut pada mahasiswa Masyarakat kita perlu dibebaskan dari barah ketakutan ini. Ketakutan adalah punca perhambaan. Dunia Islam dijajah ratusan tahun kerana minda dan jiwa umat Islam telah terlebih dahulu terjajah. Gejala inilah yang disebut oleh pemikir Malik Bennabi sebagai “colonisibilitè”. Sang diktator akan sentiasa menyemai ketakutan dalam jiwa rakyat. Justeru itu sebagai ejen perubahan, mahasiswa perlu memiliki jiwa merdeka. Mahasiswa bukan musuh, malah mahasiswa adalah mitra yang bersama-sama mencorakkan masa depan negara. (27) Dengan semangat ini, saya mengajak ilmuwan muda untuk bangkit dengan jiwa merdeka menyelamatkan negara, memulihkan ekonomi dan memaknai semangat permasyhuran kemerdekaan. (28) Maka, dengan lafaz Bismillah Hir Rahmanir Rahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke 18, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh |