Disediakan oleh : Jawatankuasa Protokol & Perhubungan Awam, Konvokesyen ke 19 |
Bandar Seri Putra - 13 Ogos - Majlis Konvokesyen ke-19 KUIS 2016 berlangsung dengan penuh gemilang pada 13 Ogos 2016 dengan menyaksikan 1006 graduan telah menerima penganugerahan di peringkat Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam pelbagai bidang pengajian. Majlis Konvokesyen telah disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Sri Mohamed Azmin Bin Ali merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS. Dalam majlis tersebut, YAB Dato Sri Muhammad Azmin Ali mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dicapai oleh para graduan. Beliau juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pegawai akademik dan seluruh warga kerja KUIS atas berkat usaha dan kesungguhan dalam melahirkan para graduan yang berkualiti dan berjaya meletakkan KUIS sebagai Institusi Pengajian Tinggi pilihan dengan peningkatan kemasukan jumlah pelajar sebanyak 200% iaitu daripada 3500 pelajar kepada 9350 pelajar. Pada Sidang Kedua Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YAD Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib bin Mohd Isa telah menyampaikan Diploma kepada graduan KUIS. Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa Majlis Agama Islam Selangor akan terus komited dan memberikan sokongan bagi memastikan KUIS menjadi sebuah Universiti wakaf dan terus konsisten menyantuni legasi DYMM Sultan Selangor. Rektor KUIS YBhg Prof Dato’ Dr. Ab. Halim bin Tamuri berkata komitmen daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor telah berjaya membangunkan KUIS sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang berkualiti. Kini KUIS telah menyediakan 72 program pengajian iaitu 5 program di peringkat Asasi, 20 program di peringkat Diploma, 22 program di peringkat Ijazah Sarjana Muda, 21 program di peringkat Ijazah Sarjana dan 4 program di peringkat Doktor falsafah memenuhi tanggungjawab ummah melahirkan graduan sebagai Dai, Ulama dan Umara. Dalam Majlis konvokesyen tersebut, enam graduan KUIS telah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik iaitu Anugerah DYMM Sultan Selangor kepada Saudara Ahmad Walid bin Shahbudin, Anugerah Dato Menteri Besar Selangor kepada Saudari Ainur Arifah binti Mohd Noor, Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Saudari Nik Fajarizura binti Nik Sinluddin, Anugerah Rektor KUIS kepada Saudari Nurdiana Safiah binti Kamaruzzaman, Anugerah Kepimpinan Siswa kepada Saudara Muhammad Afif Afnan bin Mohd Fadli dan Saudari Nurthaqaffah binti Nordin untuk Anugerah kepimpinan Siswi. Turut hadir pada majlis tersebut Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, YB Tuan Nik Najmi Nik Ahmad, Timbalan Speaker YB Tuan Shafie bin Ngah, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Bakhtiar Bin Hussin, YAA Ketua Hakim Syarie Selangor Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar dan para jemputan daripada 20 wakil Universiti Tempatan dan Luar Negara.Tahniah diucapkan kepada para graduan Konvokesyen ke-19 KUIS. Tahniah KUIS. |
Rakaman Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 19 |