Bangi, 13 Julai 2025 - Program UNITY RUN 2025: Satu Hati, Sejuta Langkah anjuran Jawatankuasa Induk Pelaksana Bandar Ilmu Putra Mahkota menerusi Sektor Ekonomi telah berjaya menghimpunkan lebih 370 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam sebuah program larian yang menggalakkan perpaduan dan amalan gaya hidup sihat.
Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YAD Senator Dato' Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan didahului dengan ucapan aluan oleh Dr. Abdul Razif bin Zaini, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Islam Selangor (UIS).
Turut hadir memeriahkan program ialah Cik Nurhidayah Binti Shaari, Penolong Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) barisan pengurusan tertinggi MAIS dan UIS, para pegawai serta warga komuniti sekitar Bandar Ilmu Putra Mahkota.
Penganjuran Unity Run tahun ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara beberapa pihak termasuk Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan UIS, Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) serta Yayasan KUIS dengan sokongan penajaan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
Lebih daripada sekadar acara sukan, Unity Run 2025 diangkat sebagai simbolik kepada komitmen Bandar Ilmu Putra Mahkota dalam membina komuniti yang harmoni, berilmu dan aktif selaras dengan aspirasi negeri Selangor sebagai negeri maju berteraskan kesejahteraan rakyat.
Program ini turut menjadi pembuka tirai kepada Majlis Pemasyhuran dan Istiadat Konvokesyen UIS Kali ke-27 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Julai 2025 di mana Universiti Islam Selangor akan dimasyhurkan sebagai universiti penuh serta menyaksikan pelantikan rasmi Canselor dan Pro-Canselor yang pertama.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan UNITY RUN 2025: Satu Hati, Sejuta Langkah, dengan harapan semangat kesatuan dan budaya sihat yang diterapkan akan terus berkembang dalam kalangan komuniti Bandar Ilmu Putra Mahkota.