7 Julai 2025 - Universiti Islam Selangor (UIS) - Universiti Islam Selangor (UIS) meraikan pencapaian 19 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menerusi Majlis Pemakaian Jubah Graduan PhD sempena Istiadat Konvokesyen UIS Kali Ke-27 yang berlangsung di Auditorium Dr. Zainudin Jaffar, UIS.
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor UIS, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah yang turut menyampaikan amanat kepada para graduan. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah bukan sekadar lambang kecemerlangan akademik malah merupakan manifestasi jihad ilmu, ketekunan intelektual dan amanah keilmuan yang perlu dipikul dengan penuh adab, integriti dan hikmah.
Majlis turut diserikan dengan kisah inspirasi Dr. Siti Zaharah binti Hamid, mantan pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam yang berjaya menamatkan pengajian PhD pada usia 82 tahun. Kajian beliau dalam bidang tafsir dan tarbiah Islamiyah membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak mengenal batas usia serta mencerminkan tekad dan iltizam yang tinggi.
Graduan PhD yang diraikan mewakili pelbagai bidang kepakaran daripada empat fakulti utama iaitu Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan, Fakulti Pendidikan serta Fakulti Multimedia Kreatif dan Komputeran. Majlis ini turut meraikan dua graduan antarabangsa dari Indonesia dan Singapura menandakan perkembangan positif UIS dalam pengantarabangsaan pengajian pascasiswazah.
Majlis ini juga merupakan pembuka tirai kepada satu acara bersejarah universiti iaitu Istiadat Pemasyhuran dan Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) Kali Ke-27 yang bakal berlangsung dari 19 hingga 21 Julai 2025 di Pusat Konvensyen UIS. Istiadat tersebut merangkumi Pemasyhuran Universiti Islam Selangor, Pemasyhuran Canselor, Pelantikan Pro-Canselor serta Istiadat Konvokesyen UIS