Kuala Lumpur, 23 Julai 2025 - Delegasi Universiti Islam Selangor (UIS) yang diketuai oleh Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor UIS telah mengadakan sesi libat urus bersama pegawai kanan daripada Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri serta Pengarah Majlis TVET Negara bertempat di Bangunan Parlimen Malaysia.
Sesi ini membincangkan agenda Pemerkasaan Pendidikan Inklusif Negara dengan penekanan terhadap peranan UIS sebagai model universiti Islam yang mendukung pembangunan komuniti desa, masyarakat Orang Asli serta pelaksanaan program TVET yang bersifat inklusif, mampan dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Fokus perbincangan tertumpu kepada kesiapsiagaan UIS dalam melaksanakan program TVET bernilai tinggi dan berimpak besar, selain penyertaan aktif dalam pembangunan desa serta pemerkasaan inisiatif komuniti Orang Asli menerusi kerangka pendidikan, latihan dan sokongan komuniti yang menyeluruh.
Sokongan padu daripada pihak Kerajaan Persekutuan menerusi Pejabat YAB TPM amat dihargai dalam menjayakan usaha pemerkasaan pendidikan, ekonomi dan sosial yang holistik.
UIS komited untuk terus menjadi penggerak utama dalam membina model pendidikan tinggi yang inklusif dan berimpak tinggi untuk negara dan ummah.