PERJUANGAN DAN PENGORBANAN ASAS KEJAYAAN
بسم الله الرحمن الرحيم
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
Alhamdulillah, kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul yang telah berkorban dan berjuangan demi agama Allah SWT .
Sempena Eidul Adha ini marilah kita mengambil iktibar pengorbanan yang hakiki adalah pengorbanan yang tulus untuk mencari redha Allah iaitu berkorban untuk membela akidah dan syariah. Lihatlah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. yang cukup besar dan signifikan dalam kehidupan seharian kita.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KUIS termasuk pensyarah, kakitangan, pelajar dan alumni KUIS yang telah memberikan komitmen dan menyumbang secara langsung atau tidak di dalam memperkenalkan KUIS kepada masyarakat luar. Hasilnya kemasukan pelajar baharu bagi Sesi I 2020/2021 telah mencecah angka 1,719 orang pelajar. Saya berharap agar komitmen ini diteruskan lagi bagi mencapai sasaran utama iaitu menjadikan KUIS sebagai sebuah IPT yang mampu melahirkan Dai’, Ulama dan Umara serta menjadi pemimpin di masa akan datang.
Sebagaimana sedia maklum, perjuangan kita menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia masih belum berakhir. Negara kita sedang melalui fasa penting Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam membendung wabak tersebut. Sudah tentu ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi daripada semua termasuk warga KUIS sekalian. Tugas mencegah dan mengawal kini menjadi tugas dan tanggung jawab bersama kerana tanpa kerjasama dan pematuhan daripada kita, kita bimbang gelombang kedua dan mungkin ketiga akan berlaku. Kita kini menjadi frontliners khususnya di KUIS dan juga untuk keluarga kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggung jawab mencegah dan mengawal merebaknya pandemik COVID-19 dengan sedaya upaya kita.
Sehubungan itu, saya memohon kerjasama daripada semua warga KUIS kakitangan dan juga pelajar-pelajar untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak KUIS. Aspek-aspek penting perlu diberikan tumpuan dan dilaksanakan:
-
Mengamalkan penjarakan sosial;
-
Kerap membasuh tangan dan penggunaan hand sanitizer;
-
Memakai pelitup muka (face mask);
-
Elakkan hadir ke tempat yang sesak;
-
Kerap menyukat suhu badan.
Manakala pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka serta semua urusan pentadbiran perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan. Pastikan penjarakan sosial diamalkan dalam urusan seharian dan saling mengingati antara satu sama lain dalam aspek pematuhan SOP yang ditetapkan. Kita tidak boleh sama sekali lalai dan mengambil ringan aspek ini kerana kesan yang sangat besar jika pendemik COVID-19 ini merebak semula. Inilah perjuangan dan pengorbanan yang kita perlu lakukan dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Pada tahun ini juga umat Islam seluruh dunia merasa amat sedih dan dukacita kerana tidak berpeluang untuk menunaikan ibadah Haji di Mekah disebabkan pandemik Covid-19 kecuali wakil-wakil yang terpilih dari beberapa buah negara. Dikesempatan ini saya menyeru akan kita semua memanjatkan doa agar wabak ini segera diangkat oleh Allah swt dan doa juga buat semua saudara mara dan sahabat handai kita agar diberikan keselamatan, kesihatan yang baik serta dipermudahkan urusan dan dihindarkan daripada bala bencana.
Sempena kedatangan Aidil Adha ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita walaupun di saat getir ini. Semoga ukhuwwah yang sedia terjalin dalam kalangan warga KUIS perlu terus diperkukuh bagi memantapkan lagi kedudukan KUIS sebagai sebuah institusi yang mengamalkan sikap saling bekerjasama dan suka bantu-membantu antara satu sama lain. Maka marilah bersama-sama kita menerajui perubahan dari segenap segi sama ada mutu perkhidmatan, mutu kerja dan pencapaian demi membangunkan organisasi yang kita sayangi ini.
Salam Aidil Adha 1441 Hijrah daripada saya dan Pengurusan KUIS kepada para mahasiswa, para pensyarah, para pegawai dan seluruh warga KUIS yang diingati lagi dikasihi yang sentiasa berjuang dan berkorban demi Jihad Pendidikan Islam. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita. Ameen.
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
YBhg. Profesor Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri
Rektor KUIS