Bangi, 28 Februari 2025 – YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini telah merasmikan Pra Pelancaran UIS sebagai Wakaf Universiti, sebuah langkah simbolik yang menandakan permulaan penting dalam usaha membangunkan sistem pendidikan yang lestari, berdaya maju, dan berteraskan kebajikan ummah. Usaha awal Wakaf Universiti bermula pada tahun 2018, yang seterusnya melahirkan Pelan Strategik Wakaf Universiti 2020 – 2025 sebagai panduan pelaksanaan inisiatif ini. Hasrat ini mendapat sokongan kukuh apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan agar UIS menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor pada Februari 2024. Dengan titah tersebut, UIS terus melangkah ke hadapan bagi merealisasikan perancangan ini. Konsep Wakaf Universiti ini berteraskan beberapa elemen penting, iaitu:
-
Tidak Berorientasikan Keuntungan – Dana wakaf ini tidak ditujukan untuk tujuan komersial, sebaliknya ia digunakan sepenuhnya bagi menyokong objektif pendidikan dan kemasyarakatan.
-
Pembiayaan Mampan Melalui Wakaf Tunai – Model kewangan ini memastikan kelangsungan pembiayaan pendidikan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumber luar. Ini membentuk kestabilan yang memberi manfaat kepada generasi pelajar UIS pada masa depan.
-
Tadbir Urus dan Pematuhan Syariah – Pengurusan wakaf dijalankan dengan telus, berlandaskan tadbir urus yang mantap serta mengikut prinsip syariah. Kepercayaan dan amanah daripada penyumbang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
-
Misi Pendidikan dan Kemasyarakatan – UIS tidak hanya berperanan sebagai institusi pendidikan, tetapi juga sebagai agen perubahan sosial. Wakaf Universiti ini akan memastikan UIS terus berperanan dalam membangunkan ummah dengan melahirkan pemimpin yang berintegriti, berilmu, dan berakhlak.
Yayasan KUIS telah dilantik untuk menguruskan dana wakaf ini dan berperanan sebagai badan yang bertanggungjawab dalam menguruskan wakaf universiti juga memastikan bahawa setiap sumbangan diuruskan secara profesional dan selaras dengan prinsip syariah serta objektif wakaf itu sendiri.
Majlis ini telah berlangsung di Auditorium Adanan Isman, bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan UIS dan dihadiri kira-kira 500 orang. Turut hadir menyaksikan Pra Pelancaran Wakaf Univeriti ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar dan barisan pengurusan tertinggi Universiti Islam Selangor.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan majlis ini serta usaha membangunkan Wakaf Universiti UIS. Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadi saham akhirat buat kita semua.