Berita UIS

10 Julai 2025, Bangi - Universiti Islam Selangor (UIS) telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Bersama Media bertempat di Hotel Tenera, Bangi sebagai salah satu inisiatif strategik memperkukuh hubungan bersama rakan media serta memperluas capaian dan keterlihatan jenama UIS susulan pemasyhuran sebagai universiti penuh.

Majlis yang julung kali diadakan ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Naib Canselor UIS bersama barisan pengurusan tertinggi universiti, wakil dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta anak-anak syarikat dan wakil daripada pelbagai agensi media cetak serta elektronik.

Dalam ucapannya, Naib Canselor menegaskan komitmen UIS untuk membina hubungan strategik yang mampan dengan pengamal media, seiring peranan penting media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat dan naratif universiti kepada masyarakat terutamanya menjelang Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Majlis ini adalah satu permulaan baharu selepas UIS dinaik taraf sebagai universiti penuh. Kami menghargai peranan penting media dalam menyampaikan mesej universiti kepada masyarakat dan berharap hubungan ini dapat terus diperkukuh untuk manfaat bersama,” ujar beliau.

Naib Canselor turut memaklumkan bahawa pada 19 Julai 2025, UIS akan mengadakan Istiadat Pemasyhuran yang menyaksikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dimasyhurkan sebagai Canselor pertama UIS. UIS juga akan dimasyhurkan sebagai Universiti Islam Selangor pada hari yang sama. Istiadat turut akan menyaksikan pemasyhuran rasmi pelantikan dua Pro-Canselor UIS dan Istiadat Konvokesyen Ke-27 yang melibatkan 1,528 graduan dalam lima sidang bermula 19 hingga 21 Julai 2025.

Naib Canselor memaklumkan bahawa UIS menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menggalakkan lepasan SPM, STPM dan STAM melanjutkan pengajian di UIS. Seiring aspirasi tersebut, UIS kini menawarkan lebih 79 program merangkumi enam fakulti dan Pusat Matrikulasi, memperkukuh jaringan antarabangsa dengan institusi ternama dari Timur Tengah dan Asia, serta merancang pembangunan kemudahan pascasiswazah di Cyberjaya seluas 34 ekar di atas tanah kurniaan DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Majlis Hi-Tea ini juga menjadi medan pengukuhan jenama UIS sebagai peneraju pendidikan Islam kontemporari yang berperanan melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan bersedia memimpin masyarakat berlandaskan syariat dan nilai profesionalisme Islam.

Pihak media turut dijemput untuk membuat liputan sempena Istiadat Pemasyhuran dan Istiadat Konvokesyen UIS 2025 pada 19 Julai ini.

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).