ms my en gb ar aa
  Staff Portal      MyPortal      kLMS      UIS-PEARL (Staff)      UIS-PEARL (Student)      COVID-19

Berita KUIS

Bangi, 14 Oktober - DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan terima mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi naik taraf Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor sebagai Universiti Islam Selangor (UIS) semalam di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

YB. Dato’ Haji Haris Bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS berkata perkara ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

"Tahniah dan syabas kepada KUIS atas perkhabaran baik ini. Saya berharap KUIS sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor akan terus menjadi universiti terbaik sejajar dengan hasrat Tuanku DYMM Sultan Selangor yang mahukan universiti kita berada pada ranking terbaik", YB. Dato’ Haji Haris Bin Kasim.

Hadir sama, YBhg. Prof. Dato' Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), YAD Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS, YAD Prof. Adjung Dato' Setia Salehuddin Bin Saidin, Ahli Lembaga Pengarah KUIS dan YBhg. Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Rektor KUIS bersama pengurusan tertinggi universiti.

Memetik kenyataan Rektor, beliau berkata pengiktirafan naik taraf ini akan membawa UIS sebagai sebuah universiti yang gemilang dalam melahirkan dai, ulama dan umarak bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui penggunaan teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

“UIS juga akan terus membentuk dan mendidik generasi ummah agar menjadi insan soleh melalui dasar pendidikan yang berteraskan ilmu naqli (revealed knowledge) dan ilmu aqli (acquired knowledge) yang berpaksikan tauhid untuk melahirkan generasi profesional yang seimbang bagi menghadapi cabaran zaman”, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah.

UIS merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah akta IPTS 1996. Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu. Sebagai sebuah legasi pendidikan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi peneraju tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di negeri Selangor.

UIS melalui 5 fakulti menawarkan 83 program berakreditasi dari pelbagai peringkat pengajian iaitu Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif. 85% Graduan UIS juga diterima berkerja dipelbagai sektor.

Setelah naik taraf sebagai universiti hari ini, UIS tetap mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional Islam yang mampu memimpin masyarakat serta membangunkan dan mengembangkan ilmu pengetahuan Islam.