بسم الله الرحمن الرحيم
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur
(Surah Al-Baqarah Ayat 185)
Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1441H saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga KUIS yang dikasihi.
Walaubagaimanapun, ketibaan Aidilfitri pada tahun ini tidak disambut seperti biasa di seluruh Malaysia mahupun di seluruh dunia. Tiada perhimpunan besar diadakan dalam situasi semasa penularan wabak Covid-19. Ia termasuk larangan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di masjid dan surau. Semua ibadah tersebut dilakukan di rumah masing-masing. Kita harus mematuhi perintah kawalan pergerakan yang disaran oleh kerajaan bagi memutuskan rangkaian Covid-19.
Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan KUIS iaitu Pengurusan, Jawatankuasa Bertindak Covid 19, Majlis Perwakilan Pelajar dan semua pihak yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP & PKPB) ini untuk memastikan semua pelajar KUIS yang masih berada di kampus terhindar daripada wabak COVID 19 sehinggalah proses penghantaran pelajar pulang ke kampung masing-masing. Pengorbanan mereka sangat bermakna dan tidak ternilai harganya.
Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak Covid-19 iaitu telah menular kepada 5 juta penduduk dunia. Ia dijangka akan berterusan untuk tempoh masa yang agak lama dan tidak akan berakhir dalam jangka waktu yang terdekat. Kehidupan kita selama tiga bulan sebelum ini banyak telah merubah rutin kebiasaan dan menjadikan ia sebagai normal baharu (The New Normal). Ini termasuk sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi.
Sehubungan itu, KUIS sentiasa cakna dengan perubahan baharu ini dan telah merangka sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian sejak daripada PKP diwartakan. Beberapa penambahbaikan juga akan terus dilakukan bagi memastikan kelancaran proses PdP tersebut. Proses pendaftaran pelajar lama dan baharu juga akan dilaksanakan secara dalam talian.
Justeru, saya menyeru kepada semua warga KUIS agar dapat sama-sama memperkenalkan KUIS kepada saudara mara dan sahabat handai yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah melalui media sosial masing-masing. Ayuh sama-sama rapatkan saf untuk kita membawa KUIS ke destinasi yang lebih cemerlang dan gemilang di masa akan datang.
Saya mewakili pengurusan KUIS mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan KUIS agar sentiasa di bawah rahmat Allah serta dipermudahkan segala urusan.
Ingat, duduk di rumah adalah langkah terbaik untuk mengekang Covid-19.
الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر, الله اكبر ولله الحمد
كل عام و انتم بخير
Di Sini Lahirnya... Dai, Ulama & Umarak
#eidmubarak #stayathome #staysafe #jommasukkuis
YBhg. Profesor Dato' Dr. Ab. Halim Bin Tamuri
Rektor KUIS