Ucapan YAD Dato Setia Haji Muhammad Adzib Isa,
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor,
Merangkap
Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Sempena
Sidang Kedua, Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 18

pada 29 Ogos 2015 (Sabtu) di Pusat Konvensyen KUIS

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين

Yang Berbahagia
Professor Dato’ Dr. Ab.Halim bin Tamuri,
Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor;

Yang Berbahagia Ahli-Ahli  Majlis Agama Islam Selangor (MAIS);

Yang Berusaha Saf Pengurusan KUIS

Yang Dihormati Wakil-Wakil Institut Pengajian Tinggi
  
Yang Berusaha Saf Pengurusan KUIS

Yang Berusaha Dekan-Dekan Fakulti Pengajian, Pegawai-Pegawai Kanan KUIS; Para Pensyarah dan Warga Kerja KUIS 

Yang Diraikan Para Graduan, Ibu Bapa Dan Penjaga 
 
Hadirin Dan Hadirat Yang Dikasihi     

PARA GRADUAN, HADIRIN DAN HADIRAT  YANG DIRAHMATI ALLAH,

(1) Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya maka dapat kita berkumpul di dalam sebuah  dewan yang gemilang untuk meraikan kejayaan para graduan kita dalam Majlis Konvokesyen kali ke-18, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

(2) Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa pelaksana Majlis Konvokesyen kali ke-18 kerana berjaya melaksanakan majlis yang penuh bermakna dan gilang-gemilang pada hari ini. Ucapan tahniah juga saya tujukan kepada, semua graduan , ibu bapa, warga akedemik  kerana bersama-sama menjayakan Majlis konvokesyen pada kali ini.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(3) Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah khusus kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Begitu juga, jutaan penghargaan saya sampaikan kepada para ibu bapa yang sentiasa berkorban, para pensyarah yang dedikasi dan seluruh warga KUIS yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan yang terpelajar  bagi mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi ummah terbaik  yang dibanggakan.

(4) Saya difahamkan pada sidang konvokesyen kali ke 18 ini seramai 1,188  graduan telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang. Oleh itu, marilah kita saksikan bahawa mereka telah mencatatkan satu lembaran  sejarah kecemerlangan KUIS yang menjadi perhatian dan tumpuan masyarakat. Ini membuktikan bahawa kegigihan mereka untuk menimba Ilmu, kemahiran dan pengalaman di sini membuahkan hasil yang diimpikan sebagaimana yang kita saksikan pada hari ini.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(5) Saya juga mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Saf Pengurusan KUIS dan seluruh warga KUIS di bawah pimpinan Ybhg Professor Dato Dr Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS yang berusaha gigih  membangunkan dan memimpin mahasiswa serta memacu KUIS ke arah sebuah Universiti Islam  yang menjadi syiar kepada pendidikan Islam di negeri Selangor Darul Ehsan, yang melihat institusi ini melahirkan insan yang berilmu, berkemahiran dan beradab sehingga dapat membina sebuah tamadun ummat yang menjadi cerminan kepada masyarakat serta menjadi tonggak kegemilangan agama, bangsa dan negara seterusnya institusi pendidikan yang melahirkan Para Daei, Ulama dan Umara.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(6) KUIS telah mencapai hampir 8000 ribu pelajar yang berdaftar serta berjaya melahirkan seramai 15,000 graduan sehingga Majlis konvokesyen yang ke 18 pada tahun 2015. Syabas dan tahniah juga kepada KUIS kerana telah berjaya meningkatan jumlah pengambilan pelajar baharu. Ini membuktikan KUIS menjadi pilihan utama masyarakat dalam rating IPT untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

(7) Alhamdulillah KUIS terus berkembang pesat selama 20 tahun di arena dunia pendidikan perdana sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang melahirkan para Daei, Ulama dan Umara yang menyumbang kepada ketamadunan sebuah negara. Sepertimana pepatah ada menyebut “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world.”

PARA HADIRIN DAN  PARA GRADUAN  YANG DIHORMATI;

(8) Syabas dan tahniah kepada KUIS kerana telah berjaya mengekalkan Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2013 (SETARA ‘13) dengan mengekalkan TIER 4 (Sangat Baik), Penilaian daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ini menunjukkan KUIS telah membuktikan bahawa pencapaian KUIS memenuhi standart dan piawaian yang telah ditetapkan.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI;

(9) Bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor, saya berpandangan bahawa usaha dan gagasan Ybhg Professor  Dato’ Dr. Ab. Halim b. Tamuri menjadikan KUIS sebagai sebuah Universiti adalah tepat pada masanya dan ianya perlu disokong dari semua aspek khususnya peruntukan kewangan sepertimana ucapan Rektor semasa Majlis berbuka Puasa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mengharapkan dana  zakat dapat diteruskan dan ditingkatkan sesuai dengan peningkatan kutipan zakat  dan peningkatan jumlah pelajar serta perkembangan  KUIS yang sangat positif dan kompetitif. Ini bagi memastikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju berpaksikan kemajuan  pendidikan  dan penyediaan Institusi pendidikan Islam yang dapat melahirkan Para Daei, Ulama dan Umara  membangunkan Ummah  melalui pengurusan dana zakat yang professional. Marilah kita memanjatkan doa dan pengharapan kepada Ilahi agar usaha murni ini akan berjaya dan sentiasa dirahmati Allah SWT bagi mencapai gagasan Universiti penuh dalam tempoh 3 tahun seterusnya menuju sebuah universiti wakaf. {Klik disini Ucapan Rektor sempena Ihya Ramadan 2015 bersama DYMM Sultan Selangor}

PARA GRADUAN  DIHORMATI DAN DIRAIKAN;

(10) Konsep penguasaan ilmu semestinya menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa dan tidak sewajarnya menanamkan di jiwa bahawa pembelajaran hanya untuk lulus peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau untuk mendapat sekeping ijazah atau diploma sahaja. Sebaliknya, mencintai ilmu wajar ditafsirkan ke arah penghasilan pemahaman intelektual, kepemimpinan berkesan dan pelengkap sebagai pembinaan peribadi insan  kamil.

(11) Graduan KUIS sentiasa membudayakan ilmu dalam setiap ruang dan penjurunya, membudayakan ilmu dalam setiap detik nafas dan degupan jantungnya, dan membudayakan ilmu dalam setiap gerak dan geri mindanya. Saya percaya jika tindakan ini semua dapat diusahakan maka bakal lahirkan masyarakat yang berbudaya ilmu yang menyedari ketinggian nilai ilmu dan mengangkat martabat dan harakat para ilmuan. Firman Allah yang bermaksud :

"Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" (al-Mujadalah 11)

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(12) Sarjana pemikir Islam pernah berkata “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang  makmur Baldatun Tayyibatun WaRabbun Ghafur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”. Kekuatan kepimpinan negara masa hadapan adalah terletak ditangan generasi pada hari ini.

PARA GRADUAN  YANG DIKASIHI;

(13) Para graduan  perlu peka dengan segala label-label negatif seperti graduan lesu, kaku,  bisu, longlai, sentap, jiwang karat, sengal, takda Bran dan sebagainya hanya dapat ditangani dengan tindakan tranformasi minda yang positif, proaktif dan progresif. Penghayatan bahawa graduan tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan berbekalkan idealisme dan semangat serta emosi semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran mesti direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan intelektual  yang terbilang.

PARA HADIRIN DAN HADIRAT YANG DIKASIHI,
  
(14) Graduan KUIS janganlah menjadi graduan yang ‘bonsai mindanya dan bersikap pandir. Graduan seharusnya bersifat memberi dan menerima  bukan menerima sahaja, tanpa perlu berusaha lebih untuk menambah aras keintelektualan mereka. Graduan adalah terdiri daripada para intelektual serta ‘arkitek negara’ yang ‘berjaya’ pada pemikiran masyarakat. Graduan perlu berfikir ‘di luar kotak’ bukan statik dan jumud mengikut arus klise ‘kotak’. Graduan perlu menjadi satu sosok yang lebih ‘berisi’ di dalam mendepani masyarakat dalam segenap hal dan isu kerana ANDA adalah bakal kepemimpinan Negara.

(15) Oleh yang demikian graduan harus tersentak dan sedar daripada lamunan ombak rindu, lena diulit mimpi, asyik  dengan ayat-ayat cinta hingga hujung nyawa yang entah kemana, dalam usaha membangunkan ummat. Setiap denyut nadi ummah harus dimengerti dan dihayati. Silalah hadirkan diri dan tampil ke dalam gelanggang ummat dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Pimpinlah ummah dengan tulus dan ikhlas.
 
(16) Sebagai institusi pengajian yang berorientasikan keIslaman, saya meletakkan harapan yang tinggi agar KUIS menjadi juara dalam isu-isu yang melibatkan ummah sejagat. KUIS seharusnya membuka ruang diskusi ilmiah yang dapat membina kematangan intelektual warganya dengan menghidangkan penyelesaian kepada sesuatu isu. Pergolakan isu aqidah, kalimah Allah, syariah ,ekonomi, politik  dan akhlak , perlu dilihat dalam pelbagai perspektif yang melibatkan pelbagai pihak seharusnya dibincangkan secara tuntas dan ilmiah di KUIS sesuai dengan motto Pemangkin Tradisi Ilmu.

(17) Justeru itu, saya menaruh kepercayaan yang tinggi dengan usaha yang dijalankan oleh KUIS untuk memastikan sistem pendidikan Islam dapat membina insan yang seutuhnya, berkualiti dan seimbang, berwawasan luas, minda terbuka, berdaya maju mengambil hikmah daripada setiap detik kehidupan.  Pembentukan keperibadian yang unggul dan berintegriti adalah elemen sangat penting dalam diri seorang graduan di samping kecemerlangan dalam bidang akademik.

(18) Dengan wujudnya wakaf dan zakat KUIS , kita yakin usaha untuk menyuburkan budaya wakaf dan kewajipan membayar zakat dikalangan masyarakat Islam khususnya ALUMNI KUIS dalam memajukan institusi pendidikan seperti yang telah berlaku di Mesir dan Turki dapat diperkasakan dan dimurnikan agar ianya juga dapat membantu KUIS dalam menuju sebuah Universiti wakaf.
   
PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(19) Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga KUIS terus maju jaya, dan gagasan untuk menjadi sebuah Universiti yang berkualiti  akan menjadi realiti . Bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor akan sentiasa memberikan sepenuh sokongan dari segi moral dan material bagi memenuhi sebuah Universiti Islam di negeri Selangor yang menjadi mercu tanda kepada pembangunan insan,  peradaban ummah dan penanda aras bagi sebuah negeri maju. Kita yakin dengan pendidikan kita mampu memajukan negeri ini dan melahirkan masyarakat yang berfikiran minda  kelas pertama.     

PARA GRADUAN, HADIRI DAN HADIRAT YANG DIHORMATI,

(20) Tahniah sekali lagi kepada semua graduan KUIS yang telah berjaya menamatkan pengajian. Ingin saya tegaskan bahawa  ijazah yang diterima pada hari ini adalah permulaan perjalanan kita yang lebih mencabar. Saya doakan semoga Saudara- Saudari akan berjaya di dalam bidang yang diceburi. Kepada ibu bapa dan penjaga yang telah berkorban selama ini untuk kejayaan anak-anak tahniah saya ucapkan. Harapan saya jangan dilupa segala pengorbanan ayahanda dan bonda yang telah diberikan dan kasih sayang yang dicurahkan. Selamat maju jaya menempuh kehidupan sebagai seorang Daei, Ulama dan Umara yang berjiwa merdeka yang sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

(21) Akhir kata, renungi  beberapa rangkap gurindam sebagai panduan buat para graduan yang saya kasihi;

Bila niat telah terucap
Tanda siap bertanggung jawab

Bila perkara telah tetap
Bersiaplah dengan hati yang mantap

Belumlah disebut taat
Bila masih melalaikan solat

Belumlah disebut menegakkan solat
Bila masih enggan membayar zakat

Tanda engkau ikut Rasulmu
Bila ucap bersatu dalam lakumu

Carilah olehmu ilmu
Yang boleh merubah lakumu

Carilah olehmu cita
yang tidak bersandar pada manusia dan harta

Carilah olehmu cinta
yang membawamu pada DIA semata

Sesiapa yang melihat hidup itu ujian
Pertanda ia masih punya iman

Sesiapa yang akrab dengan Al Quran
Tahulah ia sebenar-benar petunjuk jalan

Apabila ALLAH telah memberi restu
Langit bumi berserta isinya kan jadi pembantu

Dan sungguh kemenangan itu adalah pasti
Untuk yang nafas kesabarannya tiada berhenti

Hidup Adalah Perjuangan
Bagi Mereka Yang Besedia Untuk Berkorban.

Sekian. Wabillah Hitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

 

 

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).