01 Oktober 2010, Bahagian Alumni mula ditubuhkan dan bertanggungjawab mewujudkan jalinan perhubungan sepanjang hayat di antara Alumni dan Alma-mater.
Menyedari akan hakikat ini pihak Pengurusan UIS telah membuka lembaran baru untuk membuat satu anjakan paradigma dalam pembentukan struktur pentadbiran yang baru dengan mewujudkan Bahagian Alumni yang bertanggungjawab secara langsung kepada Timbalan Rektor (Pembangunan Mahasiswa & Alumni) pada ketika itu.
Bahagian Alumni mempunyai fungsi utama untuk menghasilkan graduan berkualiti, berdaya saing dan berkebolehan menerusi gabungan strategik dengan alumni UIS sejajar dengan VISI dan MISI UIS.
Bahagian Alumni turut bertindak sebagai pusat pengantara/liaison bagi pakatan strategik antara Persatuan alumni UIS dengan alumni dalam sektor awam dan korporat di Malaysia dan serantau dengan mewujudkan jalinan kerjasama yang erat bagi merancang dan melaksanakan program atau aktiviti untuk para alumni UIS.
15 Jun 2013, Seksyen Rundingcara & Kerjaya telah digabungkan dengan Bahagian Alumni menjadi Bahagian Alumni & Rundingcara (BAR) sesuai dengan fungsinya yang lebih global, tidak terikat kepada fungsi kaunseling sahaja malahan memberi fokus kepada perkembangan kerjaya dan Alumni UIS.
Mei 2014, Bahagian Alumni & Rundingcara (BAR) digabungkan semula dengan Bahagian Pembangunan Mahasiswa(BPM) dikenali sebagai Seksyen Alumni & Rundingcara (SAR).
Tahun 2018, fungsi Alumni telah dikeluarkan dari Bahagian Pembangunan Mahasiswa dan diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Mahasiswa dan Alumni).
Tahun 2019, seksyen dijenamakan semula dengan penambahan fungsi Alumni semula sebagai Seksyen Kaunseling, Kerjaya dan Alumni. Dengan ini, pihak SKKA,BPM dapat menentukan dan menetapkan tekniknya sendiri berdasarkan keperluan perkhidmatan bimbingan, rundingcara serta Alumni di UIS.
1 Februari 2021, secara rasminya Bahagian Alumni ditubuhkan semula di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Mahasiswa & Alumni) bagi memperkasakan Alumni selaras dengan usaha UIS ke arah penaiktarafan UIS kepada Universiti.
Bahagian Alumni berfungsi sebagai perantara antara Alumni UIS, Himpunan Alumni UIS dan UIS. Penubuhannya bukan sekadar mengumpul semula para graduan malah mempunyai fungsi yang lebih fleksibel seperti pembangunan serta perkongsian idea dalam memperkasa dan mencapai objektif tertentu. Bahagian Alumni mengambil inisiatif dengan menyediakan medium interaksi secara bersemuka/maya dan berkelompok dengan menemukan para Alumni dengan mahasiswa dan bakal graduan.
Bahagian Alumni bertanggungjawab memastikan graduan UIS bersedia menjadi Alumni UIS yang bersedia menghadapi alam pekerjaan. Ini dapat dilaksanakan dengan mengadakan ceramah kesedaran motivasi, seminar, kursus serta bengkel kemahiran. Bahagian Alumni dengan kerjasama Fakulti bertindak menyelaraskan kursus, forum, seminar, ceramah dan bengkel persediaan kepada mahasiswa dengan keterlibatan para Alumni. Ianya melibatkan beberapa para Alumni yang berkongsi pengalaman mereka belajar di KISDAR/UIS dan rahsia kejayaan mereka dengan mahasiswa-mahasiswa semasa. Selain itu, Bahagian Alumni telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aktiviti dan program Alumni UIS yang berkonsepkan jaringan perhubungan di antara Alumni dan UIS bersama Himpunan Alumni UIS.
Bahagian Alumni juga telah memantau gerak kerja sistem kajian pengesanan graduan (tracer study) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Tujuan pengesanan ini adalah untuk mengenalpasti dan menjadi penanda aras pencapaian matlamat visi dan misi UIS sekaligus untuk mengenalpasti kebolehpasaran graduan UIS. Penubuhan Himpunan Alumni UIS (HAK) juga berperanan dalam membantu pembangunan program-program Alumni UIS.