Ucapan YAD Dato Setia Haji Muhammad Adzib Isa,
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor,
Merangkap
Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Sempena
Sidang Kedua, Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 19

pada 13 Ogos 2016 (Sabtu) di Pusat Konvensyen KUIS

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسول الله وعلى ءاله وأصحابه أجمعين

PARA GRADUAN, HADIRIN DAN HADIRAT  YANG DIRAHMATI Allah,

(1) Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, maka dapat kita berkumpul di dalam sebuah  dewan yang gemilang, untuk meraikan kejayaan para graduan kita sempena Majlis Konvokesyen kali ke-19, kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

(2) Tahniah dan syabas saya ucapkan,  kepada seluruh ahli Jawatankuasa Pelaksana Majlis Konvokesyen kali ke-19, kerana berjaya melaksanakan majlis yang penuh bermakna, dan gilang-gemilang pada hari ini. Ucapan tahniah juga saya tujukan kepada semua graduan, ibu bapa, warga akedemik, kerana bersama-sama menjayakan majlis konvokesyen pada kali ini.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(3) Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah, khusus kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Begitu juga, jutaan penghargaan saya sampaikan, kepada para ibu bapa yang sentiasa berkorban, para pensyarah yang dedikasi ,dan seluruh warga KUIS yang ikhlas, memastikan para graduan menjadi insan yang berilmu untuk menggalas tanggungjawab ummah dalam melahirkan barisan da’i, ulama dan umara.

(4) Saya difahamkan pada sidang konvokesyen kali ke 19 ini seramai 1006  graduan, telah berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang. Oleh itu, marilah kita saksikan bahawa mereka telah mencatatkan, satu lembaran  sejarah kecemerlangan KUIS, yang menjadi perhatian dan tumpuan masyarakat. Ini membuktikan bahawa kegigihan mereka untuk menimba ilmu, kemahiran dan pengalaman di sini membuahkan hasil yang diimpikan sebagaimana yang kita saksikan pada hari ini

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(5) Saya juga mengucapkan terima kasih dan syabas kepada barisan pengurusan KUIS dan seluruh warga KUIS di bawah pimpinan YBHG Prof Dato Dr Abdul Halim Tamuri rektor KUIS yang berusaha gigih membangunkan dan memimpin mahasiswa serta memacu KUIS ke arah gagasan sebuah universiti islam,  syiar pendidikan islam di negeri selangor serta menyantuni legasi duli yang maha mulia sultan selangor.

 PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;

(6) Sejak tiga tahun yang lalu KUIS  terus melakar sejarah apabila menjadi pilihan pelajar untuk meneruskan pelajaran. Ini terbukti dengan peningkatan 200% dari jumlah pelajar 3500 orang kepada 9350 orang pelajar. Ini membuktikan KUIS menjadi pilihan utama masyarakat dalam rating IPT untuk menyambung pengajian di peringkat pengajian Asasi, Diploma,  Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana  dan Doktor Falsafah.

(7) Dalam konteks ‘memperkasa ummah gemilang’   pengetahuan dan pendidikan, dua aspek pelajaran dan pembelajaran yang tidak mungkin dipisahkan. Ilmu merupakan kekuatan yang kita inginkan, manakala pendidikan adalah proses yang meletakkan kita di kedudukan tersebut. Perbincangan mengenai ilmu tidak akan lengkap kalau kita tidak menyentuh prosesnya, iaitu pendidikan.

 PARA GRADUAN  DIHORMATI DAN DIRAIKAN;

(8) Untuk melahirkan graduan yang memiliki sahsiah unggul atau towering personality. Konsep penguasaan ilmu semestinya menjadi prinsip utama di dalam kehidupan setiap mahasiswa dan tidak sewajarnya menanamkan di jiwa bahawa pembelajaran hanya untuk lulus peperiksaan, memenuhi keperluan kursus atau untuk mendapat sekeping diploma sahaja. Sebaliknya, mencintai ilmu wajar ditafsirkan ke arah penghasilan pemahaman intelektual, kepemimpinan berkesan dan pelengkap sebagai pembinaan peribadi insan  kamil.

(9) Menjadi orang yang berilmu merupakan anugerah yang terindah dalam hidup ini. Bukan semua insan yang diciptakan berupaya merenangi lautan cabaran yang terbentang untuk sampai ke syurga ilmu. Hanya golongan yang bersemangat waja dan berjiwa kental yang mampu menghadapinya. Oleh sebab itu, para graduan sekalian, yang menjadi pilihan antara ribuan manusia, bertanggungjawab membuktikan kepada masyarakat bahawa kita ialah insan terpilih, yang tinggi harga diri dan budi;  berdaya saingan terhadap kawan dan lawan; berdaya juang siang dan malam; serta amanah dan jujur  apabila diberi kepercayaan dan diuji.

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI DAN PARA GRADUAN  YANG DIRAIKAN;                        

(10) Sebagai institusi pengajian tinggi islam di negeri Selangor ,kita amat berbangga dan meletakkan harapan yang tinggi kepada KUIS,  untuk sentiasa mendepani isu semasa ummah dalam  perspektif ilmu dan menjadi pusat penganjuran seminar, konvensyen, simposium dan forum yang membicarakan isu-isu semasa dan bertindak menangani segala permasalahan secara ilmiah dan profesional. Permerkasaan  isu aqidah ahli sunnah wal jamaah dan kalimah Allah, pencerahan fahaman dan ajaran yang mengelirukan seperti fahaman liberalisme, pluralisme, syiah serta tariqat dan pemurnian penglibatan generasi muda dengan gerakan militan daish yang extreme. Amanah ini sangat signifikan dengan tanggungjawab KUIS yang menjunjung tradisi ilmu.

(11) Dalam usaha untuk menjayakan program  wakaf dan  zakat di  KUIS ,  adalah amat penting khususnya alumni KUIS, untuk bersama terlibat menyokong dan menjayakan usaha membantu KUIS  menuju sebuah universiti wakaf. Ingatlah bahawa status alumni yang akan diisytiharkan pada sidang ini dengan sendirinya menjadikan saudara-saudari tidak boleh dipisahkan daripada KUIS. Bergabung eratlah dengannya, sehati dan sejiwa. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk bersama-sama membantu membangunkan dan melestarikan KUIS dalam semua potensi  dan kelebihan yang kita miliki.  

TUAN-TUAN DAN PUAN –PUAN DAN PARA GRADUAN  YANG DIKASIHI;

(12) Marilah kita bersama-sama  mendoakan, semoga KUIS terus maju jaya dalam gagasan sebuah universiti penuh, dan sebuah universiti wakaf  menjadi realiti. Bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor akan sentiasa memberikan sepenuh sokongan dari segi moral dan material bagi memenuhi sebuah universiti islam di negeri selangor, yang menjadi legasi duli yang maha mulia sultan selangor dan mercu tanda kepada pembangunan insan,  peradaban ummah dan penanda aras bagi sebuah negeri maju.

 PARA GRADUAN,HADIRI DAN HADIRAT YANG DIHORMATI,

(13) Tahniah sekali lagi kepada semua graduan KUIS yang telah berjaya menamatkan pengajian. Ingin saya tegaskan, bahawa  diploma yang diterima pada hari ini, adalah permulaan perjalanan kita yang lebih mencabar. Saya doakan, semoga saudara- saudari akan terus berjaya di dalam bidang yang diceburi. Kepada ibu bapa dan penjaga yang telah berkorban selama ini untuk kejayaan anak-anak, tahniah saya ucapkan. Harapan saya kepada para graduan, jangan dilupa segala pengorbanan ayahanda dan bonda yang telah diberikan dan kasih sayang yang dicurahkan. Selamat maju jaya menempuh kehidupan sebagai seorang daei, ulama dan umara yang berjiwa merdeka, berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

(14) Akhir kata, izinkan saya memetik sajak pendita za’ba yang untuk renungan  para graduan yang saya kasihi;

ZAMAN MAJU

Aku dan kamu,

Hidup sekarang pada zaman maju,

Zaman pendapat baharu, fikiran baharu,

Tidak lagi seperti dahulu,

Zaman kebebasan dan perkembangan ilmu,

Manusia tidak lagi boleh diperlembu!

Buangkanlah segala perasaan kuno,
Segala fikiran beku yang keras kaku,

Segala kepercayaan karut yang hanya jadi belenggu,

Segala-galanya yang kini tidak lagi laku:
Lemparkanlah, tinggalkanlah sekalian itu,
Supaya kita senang selalu.

Kita mesti berani menggodam mengetuk,

Meruntuh meroboh segala yang lapuk,

Memotong yang busuk, memangkas yang bengkok

Mengganti membaharui dengan yang elok,

Mengikut panduan sebenar-benar petunjuk

Timbang sendiri, tidak mengikut telunjuk.

Hapuskan segala kepercayaan

Yang tak mempunyai kenyataan kebenaran!

Ingat, hati-hati kita mesti berani

Dengan tekad menurut suluhan abadi,

Memecahkan sekatan kolot, walau seperti besi,

Segala yang karat dikikis diganti.

Petikan Suluh Bahasa DBP, 1965

SEKIAN, WABILLAH HITAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH.

 

 

Universiti Islam Selangor (UIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).